KISAH sekumpulan sahabat yang lari dari penderitaan di rumah orang tua dan mengejar UFO yang menjanjikan kehidupan awet muda sepanjang zaman. Berjayakah misi mereka?

Itu jalan cerita filem komedi drama, Operasi UFO yang mula ditayangkan di saluran Astro First sejak 5 Februari lalu.

Menariknya, filem terbitan MBC Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Khairul Anuar Mat Noor atau dikenali sebagai Abang Warna itu turut menggunakan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sekali gus menjadikan filem sulung terbitan syarikat itu boleh dibanggakan.

Berkongsi mengenai pembikinan filem itu, Abang Warna berkata, Operasi UFO mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebelum mula ditayangkan.

“Penggambaran dijalankan pada bulan September 2020 dan ia memakan sedikit masa disebabkan proses suntingan yang menggunakan CGI.

“Dalam masa sama kami juga terpaksa menantikan kelulusan daripada Astro First.

“Kami menjalankan penggambaran ini selama 10 hari dan lokasinya di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi lain di Batu Pahat, Johor kerana kami ingin mendapatkan suasana ladang nanas di sana,” jelasnya.

Tambah Abang Warna, mengikut perancangan asal pihak produksi hanya mahu menerbitkan telefilem sahaja.

“Sebenarnya pada mulanya hasrat kami adalah untuk membuat satu telefilem khas untuk TV3 atau Astro. Disebabkan kami ini syarikat yang baharu maka apabila kami nak cadangkan satu tajuk telefilem maka mereka tidak terima disebabkan sudah biasa dengan syarikat yang sudah ‘established’.

“Jadi, kami berhasrat untuk menghasilkan satu telefilem khas dan meletakkan bajet yang tinggi sedikit supaya dapat hasil yang terbaik. Dengan harapan apabila produk ini selesai, pihak TV3 atau Astro akan terima jika hasilnya bagus.

“Apabila sudah siap, ada antara kami yang cadangkan untuk cuba di Astro First pula. Alhamdulillah cerita ini diterima untuk ditayangkan oleh mereka,” jelasnya.

Iklan

Ditanya cabaran untuk menyiapkan naskhah pertama mereka, Abang Warna berkata, antara yang perlu ditempuhi adalah menguruskan pelakon yang ramai dan masa yang suntuk.

“Dalam perancangan awal penghasilan naskhah ini kami berhadapan dengan masalah masa yang agak terhad dan bilangan pelakon yang agak ramai maka banyak syot yang perlu dilakukan.

“Apatah lagi lagi kita tidak boleh terlalu menekan pelakon terutama pelakon senior kerana mereka perlu ada masa bertenang dan berehat.

Iklan

“Kadang-kadang penggambaran mula pagi dan habis lewat. Jadi, saya pun rasa serba salah untuk mengambil masa yang terlalu lama,” ujarnya yang merasa  bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada pelakon dan kru produksi yang terbabit.

Operasi UFO akan membawa penonton mengikuti kembara warga emas untuk mencari UFO.

Filem Operasi UFO dibintangi oleh Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi, Sharif ZERO, Jasmin Hamid, Lousi Alissa Chong, Rozita Che Wan, Redza Rosli, Fahrin Ahmad, Vicha, Adeline Tsen, Hairi Safwan, Laura Olivia, Munir Pak Pandir, Wan Shade dan Mulyady Rudy.

Bagi mahu mengetahui perjalanan filem ini, penonton boleh membeli di saluran Astro 480 dan boleh menonton secara berulang-ulang untuk tempoh 48 jam.