FILEM Prebet Sapu atau judul bahasa Inggeris, Hail, Driver! arahan Muzzamer Rahman terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), Angeles pada Mac tahun depan.

Pemilihan naskhah terbitan Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio itu dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas yang dianggotai penggiat filem profesional dan berpengalaman melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria perfileman yang ditetapkan pihak penganjur Oscars.

Muzammer meluahkan rasa syukur apabila filem pertama arahannya itu berjaya mewakili negara ke anugerah filem berprestij.

“Setiap kali ada khabar berita baik tentang Prebet Sapu, saya akan terkenang kali pertama berjumpa kawan-kawan, mengajak mereka dan menceritakan harapan dan idea saya tentang filem yang dibikin.

“Saya juga akan teringat betapa sukar ingin membikin, apatah lagi ingin siapkan (kerana itu kita ambil masa lebh 4 tahun). Tapi saya selalu bernasib baik kerana ada Bebbra Mailin dan juga kawan-kawan sentiasa menghulurkan tangan.

“Prebet Sapu takkan dibikin tanpa sokongan kawan-kawan. Prebet Sapu takkan siap jika tiada tangan menghulur bantuan. Terima kasih untuk semua bantuan dan doa,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook.

Dalam perkongsian sama, pengarah muda itu turut merakamkan terima kasih kepada pihak Finas yang memberikan peluang kepada karya tersebut untuk mewakili Malaysia dan berharap ia dapat memberikan inspirasi kepada penggiat filem lain.

Iklan

“Terima kasih Finas Malaysia dan panel penilai. Semoga pemilihan Prebet Sapu sebagai wakil Malaysia untuk dicalonkan sebagai Filem Antarabangsa Terbaik Anugerah Akademi ke-94 memberikan senyuman kepada kawan-kawan.

“Semoga perjalanan ini akan memberikan inspirasi untuk pembikin filem lain membikin filem. Kita masih jauh, jadi kita harus saling menginspirasi. Mekarkan sinema Malaysia,” katanya penuh semangat.

Iklan

Prebet Sapu yang dihasilkan dengan kos pembikanan sebanyak RM500,000 itu bakal ditayangkan di pawagam pada 16 Disember depan dan diterajui aktor hebat, Amerul Affendi dan Mei Fen Lim.

Turut membuat penampilan ialah Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan dan Roslan Madun.