SEBUAH lagi filem terbitan produksi Malaysia, Showtime 1958 kini membuka tayangan perdana di platfom striming antarabangsa, Netflix bermula 3 Mei lalu.

Filem cereka pertama terbitan Nafalia Corporation Sdn. Bhd. itu sedang rancak distrim di Netflix seluruh dunia dan mula menduduki carta filem trending platform tersebut.

Showtime 1958 diarah dan ditulis sepenuhnya oleh pengarah lagenda Anwardi Jamil menerusi idea asal daripada memoir Allahyarham bapa beliau, Datuk Haji Jamil Sulong.

Menceritakan tentang sebuah kisah benar di sebalik terciptanya lagu ikonik Selamat Hari Raya yang ditulis oleh Tan Sri P. Ramlee dan Jamil Sulong pada April 1958 di Studio Jalan Ampas, selain turut memaparkan detik-detik genting kejatuhan empayar filem Melayu di Singapura.

Penerbitan filem yang disokong sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu dibintangi oleh Amai Kamaruddin, Bell Ngsari, Shah Iskandar, Mubarak Majid, Asry Azizan, Farah Ahmad, Dhia Farhana dan lain-lain.

Iklan

Showtime 1958 telah mendapat pelbagai pengiktirafan di festival filem luar negara termasuk di Asian Cinematography Award yang berlangsung di Manila dengan memenangi dua anugerah iaitu Pengarah Asia Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Sementara di Singapore World Film Carnival pula, filem ini menerima anugerah Skor Muzik Terbaik, selain penghargaan bagi Pencapaian Luar Biasa bagi kategori Pengarahan, Ciri Naratif dan Sinematografi.

Iklan

Treler rasmi filem Showtime 1958 boleh ditonton di saluran YouTube Netflik Asia, manakala kisah-kisah menarik di sebalik tabir filem itu boleh diikuti menerusi platform media sosial Nafalia Corporation di Facebook dan Instagram.