TIDAK hanya rancak beraksi di skrin dan layar lebar, pelakon Fimie Don juga giat mencari peluang untuk terus berlakon di pentas dalam usahanya menambah ilmu dalam bidang lakonan.

Malah Fimie atau nama sebenarnya Shafimie Saedon, menyifatkan pengalaman berlakon drama dan filem selama 15 tahun sebelum ini tidak sama dengan penglibatannya dalam pementasan teater yang baru diceburi sejak lima tahun lalu.

“Lebih lima tahun dulu saya pernah berlakon bersama seorang pelakon teater dalam sebuah drama dan saya kagum dengan lakonannya jauh lebih baik daripada saya yang sudah lama bergelar pelakon berbanding dia yang baru beberapa tahun masuk industri.

“Bila saya tanya dan selidik, rupa-rupanya dia adalah pelakon pentas dan aktif dengan pelbagai pementasan teater. Setahun selepas itu saya mula berjinak-jinak dalam teater dengan misi untuk mengembangkan dan memperbaiki kualiti lakonan,” ujarnya.

Sehingga kini Fimie yang mula berlakon semenjak usia lima tahun itu sudah membintangi lebih 10 buah naskhah teater termasuk teater Hikayat Putera Syazlan dan IQ.Rock.

Terbaru, bintang 24 tahun itu tampil menerusi teater Asrama-Ra: Dorm Putra ACT II, arahan Khairunazwan Rodzy yang kini sedang dipentaskan di PJ Live Arts bermula 26 hingga 30 Oktober.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali menonton teater Asrama-Ra edisi terdahulu yang menampilkan kisah di asrama perempuan SMK Mulia dan selalu berangan mahu menjayakan salah satu watak dalam naskhah tersebut.

“Siapa sangka untuk Asrama-Ra Dom Putra ACTII ini saya diberikan peluang itu dan lebih seronok apabila mendapat watak baharu dalam naskhah yang mengangkat isu tentang isu buli di asrama pelajar lelaki.

“Saya juga teruja dapat bekerja dengan pengarah Khairunazwan Rodzy yang mempunyai idea luar kotak dan perspektif berbeza terhadap sesuatu isu,” katanya.

Eksperimen

Mengulas watak yang dibawa dalam naskhah tersebut, Fimie berkata, ia merupakan watak baharu yang memberi peluang kepadanya mencorak sendiri karakter terbabit untuk disesuaikan dengan kehendak skrip dan jalan cerita.

“Saya memegang watak sebagai Fakri yang menjadi salah satu sebab kenapa drama dan rahsia di asrama lelaki tersebut terjadi.

Iklan

“Oleh kerana ia watak baharu dalam naskhah Asrama-Ra, saya berpeluang untuk berekperimen dan explore tentang apa sahaja yang sesuai untuk diletakkan dalam watak ini.

“Kalau diikutkan agak sukar juga untuk saya bentuk watak ini kerana tiada rujukan yang boleh diambil, namun ia adalah sesuatu yang fresh dan menuntut lebih usaha daripasa saya sebagai seorang pelakon,” jelas Fimie.

Fimie teruja menjadi antara teraju naskhah Asrama-Ra Dom Putra ACTII.

Dalam pada itu, Fimie yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (2010), berharap pementasan teater tersebut mendapat sambutan ramai, sekali gus dapat menyebar luas mesej tentang isu buli yang dibawakan dalam naskhah tersebut.

“Isu ini sangat penting untuk dikongsi kepada umum, apatah lagi kes buli semakin menjadi-jadi dalam kehidupan masyarakat kita hari ini.

Iklan

“Ketika diberikan tawaran membintangi naskhah ini, saya fikir diberikan watak sebagai pembuli atau mangsa buli, tetapi jauh daripada sangkaan saya diberikan watak sebagai saksi kepada kejadian buli.

“Ramai orang yang mungkin pernah menjadi saksi kepada kes buli, tetapi apa yang kita lakukan? Inilah antara yang cuba diketengahkan dan saya harap orang ramai dapat datang menonton pementasan ini,” katanya mengakhiri perbualan.