PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memandang serius akan penularan video dan artikel berkaitan kenyataan Presiden Persatuan Pengarah Malaysia (FDAM) berkenaan kebenaran aktiviti penggambaran di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Finas telah merujuk kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan keabsahan berhubung kenyataan itu dan dimaklumkan bahawa tiada perbincangan antara pihak MKN bersama FDAM sepertimana yang dinyatakan dalam video dan artikel tersebut.

“Justeru, Finas menegaskan bahawa semua aktiviti penggambaran adalah tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP manakala di kawasan yang dikuatkuasakan PKP-Bersyarat dan PKP-Pemulihan pula aktiviti penggambaran boleh diteruskan seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi semua garis panduan dan SOP yang digariskan oleh pihak MKN buat masa ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Idham, Finas kini juga sedang dalam perbincangan bersama pihak MKN untuk memohon kelonggaran SOP penggambaran bagi sektor industri kreatif dalam usaha memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas.

Iklan
Iklan

“Finas juga mengingatkan kepada semua pihak agar tidak bertindak secara serkap jarang dalam membuat sebarang kenyataan serta tidak memutarbelitkan fakta yang boleh mengelirukan penggiat industri kreatif,” jelasnya.

Hari ini, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim menerusi temu bual bersama sebuah portal berita mendakwa, pihaknya sudah mendapat pencerahan daripada MKN dan penggambaran bagi kawasan PKP dibenarkan dalam kawasan tertutup seperti studio dan rumah.