KUALITI dan kandungan sesebuah filem yang diketengahkan sememangnya menjadi keutamaan dalam usaha menarik orang ramai menonton di pawagam.

Pun begitu, ia belum cukup untuk menarik perhatian khalayak jika tidak disertai dengan strategi mahupun formula tertentu bagi membawa karya tersebut ke depan agar mampu dilihat lebih ramai orang.

Prinsip tersebut tentunya turut menjadi pegangan Datuk Yusof Haslam menerusi produksi miliknya, Skop Productions dan legasinya, Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof.

Sejak era Yusof Haslam sehinggalah ke zaman anak-anaknya, buah tangan mereka sentiasa berjaya mendapat kutipan pecah panggung dan hangat diperkatakan ramai.

Jika pada tahun lalu, Syamsul mencipta magis dengan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syafiq pula menyusul dengan Polis Evo 3 yang kini sedang mendominasi carta kutipan pawagam.

Malah filem yang menampilkan Shaheizy Sam dan Zizan Razak sebagai teraju utama itu turut berjaya mengetepikan filem antarabangsa, Fast X dengan kutipan melebihi dua kali ganda hari keempat tayangan rasminya baru-baru ini.

Terkini, Polis Evo 3 meraih kutipan sebanyak RM41.3 juta pada hari ke-12 termasuk tayangan awal.

Penerbit dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyifatkan kejayaan filem-filem arahan Datuk Yusof Haslam dan anak-anaknya, Syamsul serta Syafiq banyak dipengaruhi formula tersendiri yang digunakan dalam memasarkan produk mereka.

“Bagi saya, sesebuah filem yang hendak dijual haruslah mendapat kepercayaan­ penonton dari sudut penceritaan dan kandungan naskhah tersebut, paling penting juga adalah formula digunakan untuk memasarkan filem itu.

“Saya lihat filem-filem terbitan Skop Production mempunyai kelebihan tersebut. Bermula pada era ayahnya, Syamsul mahu pun Syafiq, mereka mempunyai formula asas sama iaitu memberikan kandungan berkualiti tanpa mengetepikan kehendak penonton,” katanya kepada SinarPlus.

Tambah Ahmad Idham yang juga merupakan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), formula membariskan pelakon utama yang popular dengan penceritaan menghiburkan ternyata berjaya menarik penonton ke pawagam.

“Saya lihat formula itu berjaya, apatah lagi mereka sentiasa membuat penambahbaikan dalam karya-karya baharu dengan garapan lebih baik dan pembikinan lebih besar mengikut perkembangan semasa.

“Saya akui pada awal penglibatan dalam dunia pengarahan dan penerbitan­, saya juga mengambil formula sama dengan Yusof Haslam.

“Ketika era saya buat filem Jangan Pandang Belakang, Adnan Sempit dan lain-lain, harga tiket wayang baru antara RM6 hingga RM8 tetapi kita berjaya dapat kutipan filem hampir RM10 juta,” jelasnya.

Bergerak ke depan

Sementara itu, pengarah, Osman Ali melihat perkembangan itu sebagai petanda positif untuk industri filem tempatan terus bergerak ke hadapan apabila mendapat sokongan dan kepercayaan memberangsangkan daripada orang ramai.

“Sebagai pembikin filem, saya bangga melihat filem-filem tempatan berjaya menarik perhatian ramai dan mendapat sokongan padu di pawagam.

“Ia sangat positif dan secara tidak langsung turut memberi semangat kepada kita untuk bekerja lebih keras, sekali gus menyumbang kepada industri,” katanya.

Iklan

Menurutnya, penghasilan naskhah-naskhah seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Polis Evo 3 dan seumpamanya datang dengan formula serta resipi lengkap sebagai sebuah filem mempunyai nilai hiburan kuat untuk membuatkan orang ramai mahu ke pawagam.

“Bercakap soal formula juga, saya sangat respek, puji dan kagum dengan perjuangan Yusof Haslam serta legasinya menerusi Skop Production yang sentiasa menyemarakkan industri filem tempatan dengan kejayaan diraih.

“Menerusi formula atau acuan yang dicipta dari zaman Sembilu sehingga terbaharu, Polis Evo 3, beliau jelas sangat memahami cita rasa mainstream penonton di Malaysia,” ujarnya.

Polis Evo 3 berjaya meraih kutipan RM41.3 juta pada hari ke-12 tayangannya.

Dalam masa sama, Osman menyifatkan kejayaan tersebut juga sebagai pemangkin kepada industri filem tempatan yang nampak hidup dan mampu bersaing dengan filem-filem antarabangsa yang ditayangkan di pawagam dari segi kutipan.

“Senario positif ini menjadikan industri kita nampak hidup. Kita hasilkan filem dan orang ramai berikan sokongan dengan datang menonton di pawagam.

Iklan

“Bagaimanapun dalam sesebuah industri filem, kita perlukan kepelbagaian genre. Jadi berilah sokongan kepada semua jenis filem, sama ada mainstream, artisistik, independent dan lain-lain. Kita raikan filem yang berjaya mendapat kutipan puluhan juta di pawagam, naskhah yang sampai ke festival antabangsa dan lain-lain.

“Bagi saya setiap pengarah dan pembikin filem ada pendekatan, ideologi atau falsafah mereka sendiri dalam membikin filem. Jadi kita mungkin tak boleh ikut acuan sama.

“Bila ada kepelbagaian, ia secara tidak langsung menampakkan industri filem kita berkembang,” katanya yang pernah mencipta kejayaan menerusi filem arahannya, Ombak Rindu yang membuat kutipan lebih RM10 juta.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi