Gabungan baharu 3 wanita, Nona tak berniat saingi Dolla dan De Fam
KEMUNCULAN beberapa band girl atau kumpulan muzik wanita memberi warna baharu dalam industri hiburan tanah air. Apatah lagi genre dan lagu yang diketengahkan segar dan mesra telinga.
Berpengalaman luas dalam bidang nyanyian dan muzik, penyanyi Stacy dan Akim Ahmad menerusi syarikat rakaman mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment ‘melahirkan’ kumpulan Nona yang terdiri daripada tiga wanita.
Dianggotai oleh Raja Nuraizureen Raja Azahari (Nona Raja), 25, Low Kar Yee Angela (Nona Lela), 26, dan Erika Rianty Anthony (Nona Rika), 21, Nona adalah satu lagi bukti semangat dan kualiti yang dihasilkan pasangan suami isteri itu.Menurut Stacy, perjalanan untuk merealisasikan Nona mengambil masa panjang sebelum mereka berjaya disatukan dengan kemunculan single sulung, Kasuari selain video muzik yang dilancarkan pada 21 Mei lalu di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.
“Perancangan untuk mewujudkan Nona ini bermula sejak 2019 lagi, tapi agak terbatas sebab sibuk dengan kerja.
“Apabila sudah ada pengalaman, saya dan Akim memikirkan sudah sampai waktu untuk berkarya kepada orang lain pula. Konsep dan hala tuju yang ada ini kami cuba terapkan kepada orang baru lengkap dengan lagu.
“Pada awalnya, Nona ada ramai calon dan banyak kali bertukar. Ketika itu kami masih mencari kekuatan dan karakter yang perlu dibawa Nona.
“Jadi apabila sudah dapat Top 3, baru kami mulakan latihan iaitu sejak Oktober tahun lalu.
“Saya dan Akim ajar benda penting dalam muzik, apa patut buat dan ambil tahu apabila nak menyanyi.
“Macam Raja dan Lela mereka adalah penari profesional dan sudah biasa mengiringi persembahan penyanyi lain. Rika pula adalah bekas protege saya dalam Mentor Milenia. Jadi, nak menjadikan Raja dan Lela penyanyi dan Rika penari adalah cabaran.
“Tapi yang menariknya, disebabkan keinginan dan cara bekerja mereka, ketiga-tiganya dapat terima semua ini dalam tempoh yang singkat. Sejujurnya, saya teruja melihat peningkatan dalam diri mereka,” katanya.
Menurut Stacy, Nona bukan sahaja penyanyi tapi juga penghibur yang muncul dengan identiti tersendiri.
“Perjalanan nak satukan mereka agak susah. Masing-masing belum berkenalan melainkan Lela dan Raja. Pernah satu tahap mereka bergaduh ketika proses rakaman video muzik.
“Lama-kelamaan apabila mereka tidur di studio selama dua minggu, barulah nampak keserasian antara satu sama lain. Baru mereka dapat belajar dan terima pelajaran dengan senang.
“Jadi keserasian penting untuk menghasilkan perkara yang bagus dan berkualiti,” katanya.
Berkongsi single pengenalan Nona berjudul Kasuari berserta video muzik, Stacy berkata genre yang diketengahkan adalah pop.
“Lagu dan video muzik sudah siap pada Mac lagi, tapi disebabkan sudah hampir dengan bulan Ramadan jadi kami ambil keputusan tangguhkan dulu.
“Genre pop dipilih berdasarkan keputusan bersama. Mereka juga selesa dengan genre ini dan mahu mengetengahkan M-Pop,” katanya.
Ditanya adakah kemunculan Nona bakal memberi saingan kepada kumpulan Dolla yang kian mencipta nama, Stacy berkata ia perkara biasa dalam bidang muzik.
“Sejak kebelakangan ini pun peminat semakin suka dengan band girl.
“Apabila Dolla dan De Fam muncul, ia sedikit sebanyak memberi semangat untuk orang lain juga. Bagi yang suka dengarkan K-Pop, boleh jadikan M-Pop pula sebagai muzik pilihan selepas ini.
“Orang Malaysia ramai berseni. Cuma kena beri peluang mencuba dan belajar. Jadi Nona akan sama-sama memberikan saingat sihat,” katanya.
Tak pernah terfikir jadi penyanyi
Bagi Nona Raja, bersatu menjadi satu kumpulan memberikan peluang buat dirinya saling mengenali anggota lain.
“Saya memang penari tetapi tak terfikir nak menjadi penyanyi. Apabila diberi peluang, saya cuba fokus dengan bidang baru ini. Sejak membuat latihan setiap hari bermula Oktober tahun lalu, kami dapat mengenali antara satu sama lain.
“Dari situ tahu perangai dan kemampuan masing-masing. Kami saling membantu mana kelemahan dan kelebihan. Diakui ada turun dan naik, tapi ia buat kami bersatu menjadi satu pasukan,” katanya.
Nona Lela pula menyifatkan pembabitan dalam Nona adalah rezeki terpijak buat dirinya.
“Saya seorang pramugari tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan, memang terkesan sebab tidak ada gaji.
“Kiranya, Nona adalah rezeki PKP. Lagi pula, saya pun memang minat menari dan menyanyi. Saya ambil peluang ini untuk buka buku baru. Walaupun tidak ada pengalaman luas, saya ambil sebagai rezeki dan terima cabaran ini,” katanya.
Nona Rika juga berharap kemunculan Nona dalam industri muzik tempatan dapat diterima baik.
“Saya percaya, setiap daripada kami ada kelebihan masing-masing. Disebabkan itu, pihak pengurusan berjaya menyatukan kami menjadi sebuah kumpulan.
“Malah, menerusi single pertama ini, kami berharap peminat dapat memberi sokongan.
“Sebagai orang baru, tentu saja kami perlukan sokongan. Namun, kami juga bersedia untuk sebarang kritikan yang membina,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang