Gandingan serasi George Clooney, Julia Roberts hangatkan Ticket To Paradise

A
A
A

DUA aktor ternama Hollywood, George Clooney dan Julia Roberts kembali disatukan dalam sebuah filem romantik komedi baharu, Ticket To Paradise yang kini ditayangkan di pawagam tanah air bermula 6 Oktober lalu.

Ticket To Paradise mengisahkan tentang David (George Clooney) dan Georgia (Julia Roberts), bekas pasangan suami isteri yang terbang ke Bali dengan satu misi sama untuk mengagalkan perkahwinan anak perempuan mereka, Lily bersama seorang pemuda tempatan, Gede.

Kedua-duanya tidak mahu Lily melakukan kesilapan dan gagal dalam perkahwinan sebagaimana dilalui mereka. Apatah Lily baru sahaja tamat pengajian dan hanya mengenali Gede dalam masa singkat ketika sedang bercuti di pulau tersebut.

Filem ini tampil dengan plot penceritaan ringan, santai tanpa adanya kejutan atau plot twist yang melatari tontonan. Malah, ia hadir dengan elemen-elemen klise sebuah filem romantik komedi yang sudah dapat dijangka perjalanan dan pengakhirannya.

Bagaimanapun gandingan serasi kedua-dua bintang utamanya iaitu George Clooney, Julia Roberts menjadi tarikan utama filem ini. Mereka menampilkan lakonan yang bersahaja, namun cukup meyakinkan penonton betapa pentingnya peranan mereka dalam menghidupkan naskhah tersebut.

Antara babak menarik Ticket To Paradise.

Mengambil latar tempat di pulau Bali, Indonesia, penonton disajikan dengan sinematografi yang memikat. Paparan adat dan budaya masyarakat setempat yang diwakili menerusi watak Gede itu sangat indah. Apresiasi seni yang harus dipuji.

Sayang sekali, lokasi penggambaran sebenar tidak berlaku di pulau Dewata itu, sebaliknya di lokasi berbeza iaitu pantai Queensland, Australia. Mungkin produksi mempunyai alasan mereka sendiri, terutamanya apabila penggambarannya dilakukan pada fasa pandemik masih melanda dunia.

Pun begitu, penonton di Indonesia masih boleh berbangga apabila aktor kelahiran negara itu, Maxime Bouttier merupakan antara karakter penting karya tersebut.

Debut yang menjadi apabila aktor tersebut berjaya mengimbangi lakonannya bersama dua bintang ternama Hollywood yang ternyata sudah mempunyai pengaruh mereka yang tersendiri dalam satu frame sama.

Tidak hanya itu, dialog menggunakan bahasa Indonesia yang menghiasi filem ini juga turut mencuri perhatian meski hanya melibatkan beberapa bahagian kecil filem ini.

Secara keseluruhannya, Ticket To Paradise berbaloi untuk ditonton, terutamanya bagi peminat genre romantik komedi. Santai dan menghiburkan.

Ticket To Paradise

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Romantik Komedi

Durasi: 1 jam 45 minit

Pengarah: Ol Parker

Pelakon: George Clooney, Julia Roberts, Kaitlyn Dever, Billie Lourd, Maxime Bouttier, Dorian Djoudi

Tarikh Tayangan: 6 Oktober 2022

Terbitan: United International Pictures

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca