KERJASAMA antara kumpulan nasyid dan penyanyi komersial bukan perkara baharu, namun kolaboratif itu masih mendapat sambutan positif daripada peminat industri muzik tanah air.

Terbaru, Inteam dan VE tampil dengan projek istimewa menerusi lagu ALLAH ALLAH Aghisna sejak 18 Oktober lalu.

ALLAH ALLAH Aghisna membawa maksud ‘Wahai ALLAH, bantulah kami’ adalah sebuah qasidah lama yang diberikan nafas baharu oleh kedua-dua kumpulan vokal berlainan genre itu.

Bercerita lanjut mengenai kerjasama yang terjalin, ketua kumpulan Inteam, Mohd Syahril Abdul Khalid berkata, perancangan itu hanya mengambil masa selama tiga bulan dan proses penghasilannya dibuat daripada tempat masing-masing memandangkan kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

“Inteam dan VE memang sudah beberapa kali bertemu dan kami memang merancang untuk muncul dengan satu single bersama bersempena dengan Maulidur Rasul.

“Semua perbincangan sebenarnya dibuat melalui panggilan telefon sahaja.

“VE meletakkan kepercayaan kepada Inteam untuk memilih lagu, maka sebulat suara Inteam memilih qasidah ALLAH ALLAH Aghisna.

“Setiap bait syair qasidah ini memberi satu inspirasi kecintaan yang mendalam terhadap ALLAH dan Rasul.

“Ditambah dengan susunan lagunya, memang masuk ke hati. Alhamdulillah, bagi pihak Inteam, kami gembira dengan hasil kolaboratif dengan VE kerana suntikan harmoni dalam qasidah, menambah keindahan lagu ini,” ujarnya yang pernah bekerjasama dengan Khai Bahar.

VE meletak kepercayaan kepada Inteam untuk memilih lagu.

Dalam pada itu, Zaf yang mewakili VE berkata, dia berharap kerjasama itu akan menjadi pembuka pintu buat Inteam dan VE bekerjasama dalam projek-projek akan datang.

“Kami tidak pernah berbincang lanjut tentang projek selanjutnya. Tetapi andai ada sambutan, ruang dan rezeki untuk bekerjasama, kami tidak menolak.

“Mungkin selepas ini, kami pula boleh cadangkan lagu yang bersesuaian untuk projek seterusnya.

Iklan

“Apa yang kami harapkan sekarang, para penggemar qasidah, juga peminat Inteam dan VE dapat menghayati qasidah ini,” katanya.

Nasyid masih relevan

Dalam pada itu, ditanya pandangan Inteam mengenai perkembangan industri nasyid pada hari ini, anggota kumpulan itu, Abdul Rahim Osman berkata, nasyid masih lagi relevan.

Inteam berharap industri nasyid akan terus menjadi pilihan.

Katanya, walaupun industri nasyid ada turun naiknya, namun sambutan daripada pendengar masih positif.

Iklan

“Tidak dinafikan sambutan terhadap irama nasyid sekarang ada turun naiknya, tetapi selepas program Gema Gegar Vaganza pada 2017, ia kembali menjadi perhatian ramai.

“Munsyid Malaysia juga sudah mengatur perancangan bukan hanya untuk menaikkan industri nasyid di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Ikutkan, Malaysia menjadi hab atau penanda aras bermulanya kumpulan nasyid ketika penubuhan kumpulan Raihan.

“Banyak negara luar yang menjadikan kita sebagai rujukan. Jadi saya berharap perancangan seperti itu dapat menaikkan lagi industri nasyid selepas ini,” ujarnya.