'Garam kena ada tapi...'Maryam kongsi tip anak berselera makan. Patutlah Rina hirup sup sampai licin!
PENGAMBILAN garam dalam makanan pada usia seawal tiga tahun dapat membantu tumbesaran anak-anak.
Petua berkenaan dikongsikan selebriti media sosial, Maryam You Narae atau lebih dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi,32, ketika diwawancara secara eksklusif bersama SinarPlus.
Menurut isteri kepada Ryzal Ibrahim itu, sebelum ini segelintir ibu bapa beranggapan ia tidak baik untuk kesihatan kanak-kanak.
Jelasnya, garam mengandungi mineral penting yang diperlukan tubuh badan maka ia diperlukan oleh si kecil namun dalam kuantiti yang kecil.
“Pengambilan mineral amat penting untuk tumbesaran kanak-kanak. Sebab itu, saya pastikan pengambilan garam diberikan kepada Rina.
"Cuma janganlah berlebihan sebaliknya dalam kuantiti yang bersesuaian. Itu yang saya praktikkan dalam pemakanannya. Sekurang-kurangnya satu sudu teh kecil ketika memasak,” katanya.
Tambah Maryam, bagi menarik minat anaknya dalam menyukai makanan, beliau juga meletakkan bahan lain seperti ikan bilis, bawang putih dan daun bawang.
“Misalnya untuk rasa yang lebih enak pada masakan seperti sup, masukkan ikan bilis dan rebus. Tak ada lah rasa kosong.
“Demikian juga dengan penggunaan bawang putih dan daun bawang. Selain menaikkan rasa dan bau, ia juga bagus untuk batuk,” ungkap wanita kelahiran Seoul, Korea Selatan itu lagi.
Tambah graduan Diploma Terapi Fizikal dari Universiti Cheonga itu, anak perempuannya kadang-kadang agak memilih bab makanan.
Sehingga kini, air tangan beliau yang menjadi kegemaran Rina adalah nasi putih dicampurkan ke dalam sup dan juga telur. Patutlah setiap kali dihidangkan menu itu, Rina menghirup sehingga licin.
“Jika dia (Rina) menolak untuk makan, saya akan mencari sesuatu yang membuka seleranya seperti daging.
"Biasanya, saya akan stimkan dalam pressure rice cooker dan rebus dalam satu jam setengah sehingga dagingnya benar-benar lembut. Demikian juga dengan ayam, dia kurang gemar jenis rebus, jadi saya sediakan menu yang bakar. Saya akan cari menu yang disukainya,” katanya.
Untuk rekod, Ryzal dan Maryam berkahwin pada 15 Ogos 2019 dan memiliki seorang cahaya mata, Rina.
Pasangan berkenaan mula dikenali selepas muncul dalam YouTube Durian Kimchi, saluran yang dicetuskan mereka.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang