SELEPAS mengharungi pelbagai cabaran dalam industri seni impak daripada pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu, penyanyi dan pelakon yang kini bergelar penerbit, Datuk Awie mengharapkan sinar baharu untuk tahun 2021.

Apatah lagi pada bulan pertama tahun baharu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 52, bakal meraikan dua perkara penting dalam hidupnya.

Bukan sahaja bakal tampil dengan Filem TV (FTV) pertama terbitan syarikat produksi miliknya, Rumah Produksi Merah, tetapi juga bakal menyambut kelahiran cahaya mata keenamnya, dan pertama bersama isteri, Datin Sharifah Ladyana Shamsudin.

“Syukur Alhamdulillah pada bulan Januari ini, saya bakal meraikan dua perkara menarik dalam hidup.

“Kebetulan FTV pertama keluaran syarikat produksi saya iaitu 10 Tips Tipu Bini bakal menemui penonton pada 7 Januari ini dan pada pertengahan bulan pula, saya akan menimang cahaya maya keenam,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media pelancaran FTV 10 Tips Tipu Bini di Matic, baru-baru ini.

Berkongsi harapannya untuk tahun baharu, Awie berkata, dia mengharapkan pandemik Covid-19 segera berakhir, sekali gus mengembalikan semula kemeriahan industri seni.

“Saya harap 2021 memberikan sinar baharu buat kita semua. Pandemik Covid-19 selesai, industri kembali pulih dan orang ramai juga dapat menjalani kehidupan yang baik seperti mana sebelum ini.

“Dalam masa sama, kami penggiat seni dapat kembali aktif menjalankan aktiviti dan dapat meneruskan kerja-kerja yang banyak tertangguh sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang penglibatannya sebagai seorang penerbit, kata Awie, ia merupakan satu peluang dan cabaran baharu untuknya menimba pengalaman berbeza.

“Rumah Produksi Merah baru sahaja ditubuhkan dan kami masih belajar tentang banyak perkara.

“Percubaan sulung menerusi FTV 10 Tips Tipu Bini yang bakal disiarkan di Astro First pada 7 Januari ini diharapkan dapat diterima ramai dan menjadi pembakar semangat untuk kami menghasilkan naskhah yang lebih baik dan berkualiti pada masa akan datang.

“Bila bergelar penerbit, sudah semestinya saya berdepan cabaran berbeza terutamanya berkaitan bajet, perjalanan produksi dan sebagainya yang selama ini saya tidak ambil tahu sebagai pelakon,” katanya.

Iklan

Selain Awie sendiri, FTV arahan Azizi Chunk itu turut membariskan pelakon seperti Ropie, Khir Rahman, Joey Daud, Elizabeth Tan, Vicha, Jehan Miskin, Atu Zero dan ramai lagi.

Meskipun sibuk dengan pelbagai perancangan untuk kerjaya seninya, Awie mengakui tidak lupa membuat persiapan menyambut kelahiran cahaya mata baharunya.

“Syukur pada usia 52 tahun ini, saya masih diberikan rezeki untuk menimang anak. Jadi apa yang perlu saya lakukan tentunya menjaga kesihatan dengan sebaiknya.

Iklan

 “Tak naklah nanti bila hantar anak ke sekolah, ada yang ingat saya ni datuk kepada anak pula.

“Jadi saya sentiasa psiko diri dengan perkara-perkara positif untuk pastikan diri kekal fit,” akhiri Awie.

 

(FOTO: Rosli Talib)