Haqiem Rusli umum nikah Jumaat depan

A
A
A

PENYANYI Haqiem Rusli mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan dengan gadis pilihannya pada 19 November (Jumaat) depan.

Berita gembira tersebut dikongsi Haqiem atau nama lengkapnya Ridzuan Haqiem Rusly, 23, selepas dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi pada Anugerah Bintang Popular (ABPBH34) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.

“Sebelum ini ramai yang tanya bila majlis pernikahan saya akan berlangsung kerana saya pernah memberitahu bakal tamatkan zaman bujang pada bulan ini. Jadi hari ini tiba masa saya umumkan tarikh tersebut  ialah pada 19 November ini.

“Insya-ALLAH majlis tersebut akan diadakan di Cyberjaya di mana acara pernikahan berlangsung pada sebelah petang dan resepsi pula pada malamnya.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat menjemput lebih ramai tetamu kerana mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan. Majlis ini diadakan secara kecil-kecilan sahaja di mana jumlah tetamu tidak sampai 200 orang,” ujarnya.

Berkongsi tentang bakal isteri, kata Haqiem, gadis berusia 19 tahun itu merupakan rakan kongsi perniagaannya.

“Dia adalah rakan perniagaan saya di mana kami berkenalan ketika saya membuka restoran Santhai Village sebelum ini.

“Apabila selalu jumpa disebabkan urusan perniagaan, lama-lama saya berasa selesa dan percaya dialah orang yang bakal menjadi pelengkap hidup saya. Dia banyak mengubah saya ke arah kebaikan.

“Insya-ALLAH sempena majlis perkahwinan kami nanti, saya juga akan melancarkan sebuah single istimewa tentang kami, berjudul Hitam Saksi Putih,” jelasnya.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi itu berkata, berita tersebut mendapat reaksi yang positif daripada para peminatnya.

“Rata-rata peminat memberi reaski positif dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya.

“Walaupun memberitahu bakal berkahwin sebelum ini, mereka tetap memberikan sokongan dan mengundi saya sehingga berjaya memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi.

“Saya yakin mereka meminati saya kerana karya dan tidak masuk campur urusan peribadi saya. Itu adalah satu perkara yang sangat baik dan membuatkan saya lebih menghargai, malah menghormati mereka semua terutama kelab peminat saya, Qiemilio,” katanya.

 

(FOTO - Instagram Rizman Ruzaini & TV3)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca