PENYANYI Nashrain mengakui peluang kedua yang diberikan oleh label rakaman terbaharu tanah air, Armani Entertainment Group (AEG) tidak harus dipersiakan.

Menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus berkongsi bakat dimiliki, Nashrain tampil memperkenalkan single pertama yang berjudul Dahlia, sebuah karya ciptaan Anas Amdan.

“Alhamdulillah, syukur dengan izin-NYA saya diberikan peluang kedua yang tidak ternilai ini hasil kepercayaan pihak AEG yang ‘nampak’ bakat yang saya ada.

“Platform yang disediakan pihak rakaman lengkap kerana mempunyai team yang cekap dan sentiasa membantu saya dalam apa jua perkara,” ujarnya.

Semenjak dilancarkan pada 29 Julai lalu, single Dahlia yang sudah pun meraih lebih 70,000 jumlah tontonan di YouTube dan rata-ratanya memberi respon yang sangat memberangsangkan.

“Semuanya berjalan lancar seperti yang direncanakan. Walaupun masih baru saya percaya lama-kelamaan ia akan membuahkan hasil kerana kejayaan tidak diraih dalam sekelip mata.

”Kebanyakan komen yang saya terima, ramai yang tertunggu bila saya akan muncul dengan lagu baharu setelah tidak muncul dengan mana-mana single setelah sekian lama,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut tentang single tersebut, Nashrain berkata, mempunyai signifikasi yang istimewa dalam hidupnya.

“Lagu ini adalah berdasarkan cerita sebenar yang berkait rapat dengan hubungan kekeluargaan, tambahan pula kita baharu sahaja dalam fasa pemulihan sejak berlakunya bencana Covid-19.

“Ramai yang kehilangan orang tersayang dan ada pula terpaksa berjauhan dengan keluarga. Sebagai ketua keluarga saya harus menggalas tanggungjawab ini demi mencari rezeki dan mengejar cita-cita,” ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Nashrain percaya hanya bakat yang mampu membawa seseorang itu pergi jauh dalam industri meskipun tidak menafikan kelebihan teknologi moden pada era ini.

“Dalam dunia serba moden ini, pembangunan teknologi digital hanya membantu dari belakang dan bukan nombor satu. Jadilah penyanyi yang sentiasa bersiap siaga, dan hargai sokongan peminat.

“Saya tidak mengejar kemasyhuran, saya betul-betul ikhlas dalam berkarya dan langkah pertama saya adalah menembusi pasaran arus perdana dan membuktikan kemampuan saya yang sebenar,” tegasnya.

Menaruh harapan yang tinggi terhadap Dahlia, penyanyi ini mengharapkan agar lagu tersebut mendapat perhatian ramai.

Iklan

“Untuk peminat yang mengenali saya, lagu ini untuk anda semua. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dan percaya pada bakat yang saya ada.

”Semoga Dahlia menjadi permulaan peluang kedua saya dan doakan saya agar dapat berikan yang terbaik buat semua,” akhirinya.

(FOTO: ARMANI ENTERTAINMENT GROUP)