SETELAH 12 tahun menimba pelbagai pengalaman dalam industri, penyanyi Shiha Zikir mengakui semakin matang sebagai anak seni.

Apatah lagi, perjalanan penuh onak ranjau yang dilalui mengajar pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir, 35, untuk terus berani mengejar apa yang diimpikan tanpa mengenal erti putus putus asa.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang saya dapat hari ini dan sangat terharu dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.

“Bukan mudah untuk berada di mana saya berdiri sekarang, sebaliknya pelbagai dugaan dilalui selama 12 tahun bergelar anak seni.

“Biarpun begitu saya tidak pernah berputus asa, malah sentiasa mencari peluang terbaik mengembangkan bakat seni yang dimiliki,” ujarnya.

Tidak hanya dalam bidang nyanyian, tetapi Shiha turut aktif dalam bidang lakonan dan bergelar penyampai radio, selain terlibat dalam program komedi.

Aksi Shiha ketika Konsert Revolusi 2022 – Todak Music & Friends yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre baru-baru ini.

Menolak tepi sikap sesetengah pihak yang memperlekehkan bakat dimiliki, penyanyi lagu Aewo itu mahu terus positif mengejar impian dalam bidang seni.

“Dulu saya sering memikirkan apa orang lain kata sehingga pernah mengalami serangan panik. Saya berasa tertekan diperlekeh rakan dalam industri yang tidak berpuas hati dengan rezeki dan peluang yang saya peroleh.

“Namun, saya kemudiannya bangkit dengan semangat baharu untuk terus melangkah tanpa mempedulikan kata-kata orang. Saya mahu jaga rezeki yang saya dapat baik-baik.

“Buat apa saya nak fikir fasal orang kerana mereka bukan tahu tentang susah senang saya pun,” ujarnya.

Tidak berdendam

Dalam pada itu, Shiha berkata, keluarganya banyak memberikan kata semangat agar dia sentiasa positif mendepani cabaran,

“Kalau diikutkan, saya memang tak kuat pun untuk harungi cabaran yang datang bertali arus, namun keluarga dan rakan-rakan banyak memberikan semangat.

Iklan

“Jujurnya saya tidak pernah berdendam atau mengharapkan sesuatu yang buruk kepada pihak yang mahu melihat kejatuhan saya. Sebaliknya hanya doa agar mereka diberikan kesedaran.

“Sekarang saya hanya fikirkan tentang kerja. Mahu buat yang terbaik dan meletak tepi jangkaan diberikan agar tidak kecewa di kemudian hari,” katanya.

Shiha ditemui ketika menjayakan Konsert Revolusi 2022 – Todak Music & Friends yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) baru-baru ini.

Muncul sebagai artis utama konsert tersebut dengan menyampaikan enam buat lagu, termasuk single baharunya berjudul Kalam, Shiha menafikan anggapan mengatakan dirinya ‘anak emas’ syarikat rakaman terbabit.

Iklan

“Saya tidak pernah terfikir wujudnya situasi seperti itu di Todak Music. Mungkin kerana saya lebih senior dan mempunyai banyak lagu, saya diberikan peluang itu berbanding rakan-rakan lain yang masih baharu.

“Apa-apun saya sangat puas hati dapat menghiburkan peminat dalam konsert ini. Biarpun kehadiran penonton terpaksa dihadkan kerana pematuhan prosedur operasi standard, namun ia mendapat sambutan yang di luar jangkaan kami,” katanya.

 

(FOTO: Todak Music)