PADA awal kemunculannya dalam bidang seni, nama Scha Elinnea sering terpalit kontroversi. Bukan sahaja dikenali dengan imej seksi, namun bintang berusia 22 tahun itu juga sensasi dengan kisah-kisah peribadi yang menenggelamkan bakat seninya.

Selepas tiga tahun bergelar pelakon, Scha atau nama sebenarnya Natasha Mohamed Mubeen mula menyedari situasi tersebut tidak sihat untuk perjalanan seninya dan mula mengambil pendekatan lebih fokus pada kerjaya.

Mula diperkenalkan menerusi drama Mr. Grey pada tahun 2018, nama Scha kini kerap menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk membintangi drama-drama baharu di kaca televisyen (TV).

Terbaru, penampilannya menerusi dram Sitik Tok yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3 turut mencuri perhatian ramai sehingga mencecah tiga juta penonton pada episod ketiga siarannya baru-baru ini.

“Watak saya sebagai Siti dalam drama ini sangat istimewa kerana ia menceritakan tentang gadis kampung yang berhijrah ke bandar untuk menjadi seorang influencer dan aktif buat Tik Tok.

“Ia juga menjadi rutin harian saya semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di mana banyak masa diluangkan di rumah kerana tidak dapat menjalani penggambaran di luar.

“Saya harap penonton menyukai cerita ini yang sangat santai dan dekat dengan kebanyakan anak muda masa kini,” katanya ketika ditemubual pada sidang media secara maya drama tersebut baru-baru ini.

Dalam masa sama, Scha juga bersyukur kerana banyak mendapat peluang lakonan, malah sepanjang tempoh PKP, beberapa drama lakonannya disiarkan serentak di kaca TV.

“Alhamdulillah, beberapa drama lakonan saya disiarkan serentak menyebabkan kelibat saya muncul secara berturutan. Misalnya drama Hatimu Sedingin Salju disiarkan pada jam 7 malam dan kemudiannya Sitik Tok pada 10 malam, hari yang sama.

Iklan

“Begitu juga dengan drama di stesen TV yang lain dan saya anggap ia sebagai rezeki.

“Saya harap aktiviti penggambaran dapat segera dijalankan kerana saya juga terlibat dengan beberapa penggambaran yang tertangguh disebabkan PKP sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Scha mengakui mahu menjadi manusia yang lebih baik selepas ini. Malah anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengambil pendekatan untuk memadam gambar-gambar seksi yang pernah dimuat naik di laman Instagram (IG) miliknya sebelum ini.

Iklan

“Sebagai manusia biasa kita memang tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Apabila tiba masa, keinginan untuk berubah itu datang sendiri.

“Sebelum ini ramai komen tentang imej seksi itu sehingga ada yang marah dan cakap macam-macam pada saya. Ketika itu saya hanya kata, doakan yang baik-baik untuk saya.

“Alhamdulillah sekarang saya sendiri yang tergerak hati untuk berubah dan mula memadam gambar-gambar seksi di IG. Kalau orang tegur dengan cara baik, insya-ALLAH kita akan mudah lembut hati menerimanya,” akui Scha.