SELEPAS tiga tahun bergelar penyampai Suria FM, Issey Fazlisham mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama stesen tersebut.

Kontrak Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 34, bakal berakhir pada 31 Julai depan, namun penyampai segmen Team Pagi Suria (TPS) itu tampil buat kali terakhir di Suria pada 16 Julai (Jumaat), sekali gus menghabiskan cutinya yang masih berbaki.

Issey yang juga aktif sebagai pelakon dan pelawak itu turut mengumumkan berita tersebut ketika bersiaran di TPS bersama dua rakan penyampainya, Ajak dan Fizi Ali, pagi tadi.

“Hari ini hari terakhir saya di Suria. Saya sendiri yang memilih untuk tidak disambungkan kontrak di Suria. Saya sayang Suria, tapi saya buat keputusan ini disebabkan ada perancangan saya sendiri.

“Kenangan tiga tahun di Suria akan jadi satu memori yang cukup indah dan bermakna untuk saya dan ‘adik beradik’ di Suria.

“Insya-ALLAH rezeki akan ada nanti. Cuma buat masa sekarang ini, saya ada perancangan sendiri. Saya akan bagitahu pada masa yang sesuai nanti,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Suria menerusi satu kenyataan berkatanya pihaknya menghormati keputusan Issey dan berterima kasih atas khidmatnya selama ini.

Iklan

“Kami menghormati keputusan Issey yang mempunyai perancangan kerjayanya tersendiri dalam dunia hiburan serta mengucapkan terima kasih di atas khidmatnya selama tiga tahun ini sebagai penyampai di Suria FM.

“Tiada perancangan mengenai siapa yang bakal menjadi pengganti Issey buat masa ini dan segmen TPS akan kekal ke udara bersama Ajak dan Fizi Ali. Sebarang perancangan akan datang akan dihebahkan kepada media dan orang ramai,” ujarnya.