Hari terakhir restoran saya – Fazley Yaacob tutup Suka Sucre Bistro

DATUK FAZLEY YAACOB
DATUK FAZLEY YAACOB
A
A
A

BIARPUN Suka Sucre Bistro disifatkan cukup istimewa buatnya, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaacob mengumumkan penutupan operasi restoran miliknya yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

Selepas tujuh tahun beroperasi, restoran tersebut dibuka buat kali terakhir kepada orang ramai pada Jumaat.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Fazley berkata, penutupan tersebut hanyalah buat sementara, sebelum kembali beroperasi di lokasi baharu yang akan diumumkan kelak.

“Hari ini merupakan hari terakhir restoran saya beroperasi di Taman Pertama, Cheras. Kami akan berpindah ke tempat baharu tidak lama lagi.

“Tapi buat masa ini kami akan tutup buat sementara, sambil menunggu kerja-kerja renovasi di tempat baharu,” jelas Fazley.

Juara MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama itu turut mengimbau kembali bagaimana dia membina jenama menerusi restoran miliknya itu.

“Apabila saya menjadi juara untuk pertandingan memasak di televisyen pada tahun 2012, saya tidak sangka bahawa perjalanan hidup saya yang selama ini sebagai seorang artis dan usahawan, akan juga bertambah ceritanya sebagai seorang cef.

“Dengan restu dan izin arwah bapak dan ibu tersayang pada masa itu, kami mulakan Suka Sucre Bistro.

“Tujuh tahun kemudian, setelah beberapa ratus artikel di media, berpuluh-puluh anugerah kami terima dan juga pengiktirafan dari dalam dan luar negara, kami kini bersedia untuk berpindah ke tempat baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Fazley, 42, juga menzahirkan rasa terima kasihnya kepada orang ramai yang memberikan sokongan dan kakitangan yang setia berkhidmat bersamanya di Suka Sucre Bistro sepanjang beroperasi.

“Terima kasih kepada semua yang pernah melanggani restoran kami, baik yang datang dari dekat dan juga jauh.

“Salam sayang kepada semua yang pernah berkhidmat di bawah naungan syarikat ini, baik sebagai anggota dapur, pengurusan, ataupun helpers serta cleaners.

“Jasa mu sentiasa dikenang. Banyak kenangan kita bersama di sini. Terima kasih kepada mentor-mentor saya Chef Wan, Chef Joe dan mentor-mentor dari @mylecordonbleu dan @lecordonbleuparis atas tunjuk ajar dan panduan selama ini,” katanya.

Pada perkongsian yang sama, penyanyi lagu Asmara Ini itu turut memberitahu bakal membuka semula sebuah lagi restoran miliknya, Minang Tapau yang akan beroperasi di Bukit Damansara pada minggu depan.

“Minggu depan Minang Tapau mula beroperasi semula di Bukit Damansara.

“Suka Sucre Bistro pula akan dibuka juga tidak lama lagi di lokasi yang belum diumumkan lagi,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Datuk Fazley Yaacob)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca