Hasil seni dipertikai, PU Azman kongsi pandangan

July 6, 2021
Oleh Aqmar Mustaza

JIKA kebanyakan anak seni memilih untuk meninggalkan dunia hiburan sebaik berhijrah ke arah kebaikan, pendakwah bebas yang kini bergelar pelakon, PU (Pencetus Ummah) Azman mempunyai sisi pandangan berbeza.

Menurut Azman atau kini mesra dengan panggilan Cik Man, sebagai pelakon, dia mempunyai pilihan untuk memilih watak dan naskhah yang memberi nilai kepada penonton.

Bahkan secara tidak langsung, medium dakwah itu boleh disampaikan dengan cara berbeza.

“Saya tahu, cliche kalau saya kata jadikan karier lakonan untuk berdakwah. Malah saya tahu, bila ada artis yang berhijrah memilih untuk meninggalkan industri seni, orang lihat industri (lakonan) itu hitam.

“Bagaimanapun pada pandangan saya, sebagai pelakon kita yang tentukan macam mana untuk membawa nilai baik dalam industri.

“Bukan itu sahaja, bila saya cuba nasib sebagai pelakon, pelakon lain pula tahu latar belakang saya macam mana, mereka banyak rujuk saya mengenai agama.

“Jadi secara halus saya bina hubungan dengan pemain industri dan pecahkan tembok rasa malu tentang pandangan orang berkaitan dakwah sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pada sesi sidang media sitkom B.T.S (Bujang.Tampan.Selamba) yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Iklan

Ditanya pandangannya apabila ada pihak merasakan hasil pendapatan daripada industri lakonan tidak berkat, pemilik nama sebenar Azman Syah Alias itu berkata, ia perlu dilihat daripada pelbagai sudut.

“Keberkatan itu urusan ALLAH SWT. Hanya ALLAH SWT yang mengetahui berkat atau tidak hasil pendapatan kita itu.

“Pada pandangan saya, kita perlu lihat dari banyak sudut. Contohnya, jika seseorang itu bertudung, tetapi diminta untuk membuka tudung dan dibayar selepas membuka tudung, maka itu kita tahu hukumnya bagaimana.

“Berlakon jangan sampai melakukan apa yang dilarang dalam agama. Tetapi saya percaya banyak aspek yang harus dilihat jika mahu berbicara soal ini (keberkatan),” jelasnya.

Iklan
Cik Man mengakui meminati dunia lakonan sejak kecil dan bertuah kerana berpeluang menimba pengalaman dengan seniwati terkenal.

Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya dalam dunia lakonan, figura berusia 40 tahun itu mengakui gembira mencuba sesuatu yang sudah menjadi minatnya sejak kecil.

Walaupun tidak menagih ruang untuk berlakon, namun tawaran demi tawaran yang diterima memberi petanda cukup baik.

“Saya cuba elak untuk bawakan watak sebagai ustaz atau yang berkebolehan menghalau hantu kerana saya mahu lebih daripada itu.

“Sejujurnya saya meminati bidang lakonan dari kecil lagi, tetapi kerana dididik lebih kepada agama, maka peluang itu lambat tiba.

“Bagaimanapun saya bersyukur apabila mula mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit. Harapan saya dapat mencuba pelbagai watak pada masa akan datang, tak kira protagonis atau antagonis,” katanya yang tidak mengambil pusing dengan kritikan dan kecaman daripada netizen apabila mengambil keputusan untuk berlakon.

Selain B.T.S, Cik Man pernah membintangi drama popular seperti Sweet Dreams, Bila Syaitan Berbisik, Lelaki Kiriman Tuhan dan filem Petaka.

About Aqmar Mustaza