Heart juarai MLS 2, Daniel dedah hampir tolak sertai Ezad Lazim dan Azmi Saat
BIARPUN menjadi antara kumpulan ‘underdog’ pada awalnya, namun usaha keras kumpulan Heart sepanjang 10 minggu dalam program komedi Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2), akhirnya membuahkan hasil.
Pada pentas akhir yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Jumaat, Heart dipilih sebagai juara MLS2, mengalahkan tiga finalis lain iaitu UNI, Viral dan Janggo.
Kemenangan itu melayakkan kumpulan yang dianggotai Danial Zaini, Ezad Lazim dan Azmi Saat itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM150,000 dan trofi.
Tidak ketinggalan, RM10,000 wang tambahan yang dimenangi mereka disalurkan kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah, Semenyih.
Danial juga turut diumumkan sebagai pemenang Superstar musim ini atas persembahan cemerlangnya saban minggu.
Ditanya perasaan mereka sebaik dinobatkan sebagai juara, Danial mengucapkan syukur dan mengakui terkejut dengan kemenangan mereka.
“Kami jangkakan UNI yang akan memenangi pertandingan ini, melihat kepada ‘standing ovation’ yang diterima daripada ketiga-tiga juri dan penonton pada persembahan kedua mereka.
“Apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua terutamanya abang Ezad dan Azmi yang bertungkus lumus setiap minggu, datang ke rumah saya buat latihan.
“Pada awalnya saya tak nak masuk mana-mana program lawak lagi sebab rasa dah tak ada modal untuk melawak.
“Saya rasa sudah tiada tempat dalam dunia lawak ini, sebab itu saya buat lagu, berlakon dan terlibat dalam dunia penyampaian radio,” ujarnya.
Celah Ezad, dia dan Azmi terpaksa merayu agar Danial turut serta dan keengganan Danial pada awalnya hampir mematahkan semangat mereka.
“Saya paksa dia masuk sebab bila kami dapat tahu tentang program ini (MLS2), kami tak fikir panjang untuk terima sebab ketika itu kita masih terikat dengan perintah kawalan pergerakan, jadi banyak persembahan dibatalkan.
“Jadi bila saya ajak Danial serta Azmi kembali bergabung dan Danial tak nak, rasa kecewa juga. Rasa nak tubuh kumpulan lain dengan Azmi tanpa Danial. Tetapi Azmi kata dia tak yakin nak sertai kalau Danial tiada.
“Saya pun rasa tak lengkap kalau Danial tak ada dan pujuk semula dia. Alhamdulillah dia akhirnya bersetuju,” katanya yang menubuhkan Heart bersama Danial dan Azmi menerusi MLS musim pertama.
‘Saya terguris’
Ditebak kembali momen yang menjadi punca kekecewaannya, Danial berkata, dia pernah merasakan lawak meniru karakter dan suara (impersonate comedy) tidak diterima baik di Malaysia.
“Saya ingat lagi ketika menyertai Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017), Datuk Rosyam Nor kata, 'Danial jangan buat lagi lawak tiru suara'.
“Jadi saya cuba elak untuk sertai mana-mana pertandingan lawak atau buat stand up comedy sebab rasa tak ada modal.
“Sebab itu dari 2017 sehingga 2020 kerjaya saya dalam dunia komedi sangat sukar. Ada yang kata sambil bergurau, ‘kau balik Penang berniaga char kuetiau je lah’.
“Walau dia kata sambil bergurau, tapi saya terguris,” jelasnya.
Tambah Danial, dia merancang untuk tidak lagi menyertai mana-mana program lawak selepas ini biarpun komedinya kembali diterima penonton.
“Setakat ini apa yang boleh katakan MLS2 adalah program komedi terakhir saya. Saya tak fikirkan lagi tentang program komedi akan datang,” katanya.
Sementara itu kumpulan UNI yang dianggotai Fad Bocey, Atu Zero dan Fakhrul UNIC mempertahankan naib kejuaraan apabila diumumkan sebagai pemenang tempat kedua. Mereka membawa pulang RM75,000 berserta trofi.
Kumpulan yang dianggotai Ali Puteh, Mamak Puteh dan Roy Azman iaitu Viral berada di tempat ketiga dan menerima hadiah berupa wang RM50,000 berserta trofi. Janggo yang dianggotai Khir Rahman, Joey Daud dan Man Raja Lawak terpaksa berpuas hati di tempat keempat dan membawa pulang RM25,000 berserta trofi.
Kesemua pemenang dinilai berdasarkan format pemarkahan 70 peratus daripada juri tetap iaitu Datuk Awie, Nur Fazura dan Zul Ariffin, manakala 30 peratus undian SMS penonton.
Pentas akhir MLS2 menampilkan pasangan pengacara Nabil Ahmad dan Elly Mazlein.
Pertandingan akhir turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Datuk M. Nasir, Azlan (The Typewriter), Akim & The Majistret dan Bunkface.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang