BERMULA 4 Ogos ini, saksikan drama adaptasi novel Hello, Jangan Tapau Cintaku dari penulis Hasreeyati Ramli terbitan Alaf21 menerusi slot Lestary, setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam di TV3.

Drama bersiri 13 episod ini diterbitkan oleh MacheAllStar United Sdn. Bhd, diarahkan oleh Idora Abdul Rahman dengan nukilan skrip oleh Norazwanizan Awang.

Hello, Jangan Tapau Cintaku membariskan pelakon popular tanah air seperti Elisya Sandha (Ain Dheya), Nafiz Muaz (Ash Fayyad), Eyka Farhana (Ann Dayana) dan Syerinie Myra (Alia) selaku teraju utama, disamping pelakon lain seperti Sefik Khair, Ikhwan Khairudin, Azri Iskandar, Amyza Aznan, Dynas Mokhtar, Lisdawati, Badrul Muhayat dan Cahaya Nilam.

Drama ini mengisahkan Ain Dheya yang baru mula bekerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota. Berasal dari keluarga yang susah, Ain Dheya belajar cara hidup sederhana dan berjimat cermat.

Dikenali dengan panggilan ‘Minah tapau’, Ain tidak kisah pandangan orang lain, yang paling penting dia tidak suka membazir. Niat utamanya ialah meringankan beban ibunya, Mak Jah di kampung.

Iklan

Ain mula mengenali perangai bosnya, Ash Fayyad, seorang anak hartawan yang pemboros, suka menyakitkan hati orang di sekelilingnya dan sombong.

Apabila Ash Fayyad menawarkan gaji bulanan sebanyak 5 ribu kepada sesiapa sahaja yang sanggup menjaga dan mengurus adik perempuannya yang berkerusi roda, Ain Dheya yang pada waktu itu sangat terdesak memerlukan duit untuk membayar hutang sewa tanah orang tuanya menerima tawaran tersebut tanpa berfikir panjang.

Iklan

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Drama ini juga boleh ditonton di perkhidmatan penstriman iQIYI pada hari yang sama.