PENYANYI popular era 1980-an, Herman Tino meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatan isterinya, Noraini Ibnu, 63, yang juga merupakan bekas juruhebah dan pembaca berita radio RTM semakin menunjukkan perkembangan positif.

Menurut Herman atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, isterinya sudah dibenarkan pulang ke rumah pada awal Ramadan lalu, selepas 10 hari dirawat di hospital Sungai Buloh akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

”Alhamdulillah saya bersyukur melihat perkembangan positif isteri yang kini beransur pulih dan sudah kembali senyum serta bercakap dengan saya seperti sebelum ini.

“Walaupun belum sembuh sepenuhnya, malah masih perlu perlu berulang-alik ke hospital untuk membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa, saya sudah sangat bersyukur.

“Saya percaya kesembuhannya itu bukan hanya daripada rawatan dan ubat-ubatan, tetapi juga kerana doa orang ramai yang tidak putus-putus semangat buatnya,” ujar Herman kepada SinarPlus.

Terharu dengan sikap mengambil berat rakan-rakan dan peminat, penyanyi lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir itu menzahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan buat isterinya.

Meskipun kerjaya seninya tidak lagi rancak seperti dulu, Herman tidak menyangka dia dan isteri masih diingati dan diambil peduli.

Herman bersama isteri tercinta, Noraini Ibnu.

“Saya tak mampu nak membalas kebaikan hati anda semua, tetapi saya doakan agar Allah merahmati anda semua.

“Ketika isteri tahu saya kongsikan keadaan dirinya kepada umum menerusi media, dia persoalkan tindakan saya itu. Katanya malu kerana dia bukan lagi seperti dulu ketika masih bergelar juruhebah dan pembaca berita.

“Namun saya katakan pada dia, tak perlu nak rasa begitu kerana ramai orang ambil berat dan kirimkan macam-macam doa dan kata semangat untuk kesembuhannya. Malah kesedihan saya juga terubat bila melihat ramai orang berbuat begitu,” katanya yang rindu mahu melihat isterinya membaca berita dan ke udara di corong radio.

Jaga Isteri

Berkongsi lebih lanjut tentang keadaan Noraini, bapa kepada dua anak itu memberitahu, mereka kini menetap sementara di rumah anak kedua, Herta Masrun, di Sri Damansara.

“Setelah lebih seminggu keluar hospital, isteri sudah boleh berjalan dan uruskan dirinya sendiri. Bagaimanapun pergerakannya masih terhad dan memerlukan pemantauan.

Iklan

“Jadi buat sementara ini kami tidak pulang ke Tanjung Karang dahulu, tetapi menetap sementara di rumah anak perempuan. Lagipun senang nak berulang-alik ke hospital Sungai Buloh,” jelasnya.

Dalam pada itu, Herman lega kerana dapat sentiasa berada di sisi isterinya pada ketika susah dan senang. Penyanyi berusia 69 tahun itu menyifatkan Ramadan dan Syawal kali ini cukup bermakna dan reda dengan ujian yang diberikan kepada dirinya and isteri.

“Pada usia sebegini, saya sedar kami berdua sedang berdepan takdir dan ketentuan. Apa-apapun, saya terima apa sahaja yang Tuhan bagi dengan hati yang ikhlas dan berlapang dada.

Iklan

“Ketika isteri buka mata selepas tidak sedarkan diri baru-baru ini, dia minta maaf kerana telah menyusahkan orang di sekelilingnya kerana keadaan kesihatannya itu.

“Saya katakan padanya, kami sudah lebih 40 tahun hidup bersama dan lalui sahaja takdir yang Tuhan tentukan. Malah jujurnya, selepas dia sakit tempohari saya semakin sayang kepadanya,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.