PENYANYI legenda Indonesia, Hetty Koes Endang berkongsi berita gembira kini bergelar nenek apabila anak perempuannya, Afifah Qomariah Yusuf selamat melahirkan anak lelaki pada Rabu.

Hetty, 64, ternyata tidak mampu menyembunyikan keterujaannya apabila memuat naik beberapa foto cucu pertamanya yang diberi nama Arlo Astrodistira Arsanda.

“Alhamdullillahirobilalamin. Telah lahir ke dunia cucu bunda daripada Afifah Yusuf dan Faldo pada 11 Ogos 2021, dengan berat 3.11 kilogram.

“Selamat sekali lagi untuk kedua ayah dan ibu baharu. Ibu yang kuat dan sihat, semua mendoakanmu nak.

“Lancar persalinannya, bahagia sekali lihat bayinya sihat-sihat,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

Meninjau ruangan komen, Hetty yang juga juri popular program Gegar Vaganza itu turut dihujani dengan ucapan tahniah, selain menerima titipan doa untuknya dan keluarga.

Antaranya termasuklah daripada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut berkongsi kegembiraan.

Iklan

“Alhamdulillah. Tahniah ibu sudah menjadi nenek,” tulisnya.

Terharu dengan perhatian yang diberikan, Hetty merakamkan ucapan terima kasih dan menyatakan penghargaannya.

Iklan

“Terima kasih semua atas doa dan ucapan bunda sudah baca tapi belum bisa balas satu persatu,” katanya.

Afifah Yusuf berkahwin dengan Faldo Arsa Da Aziz pada 21 November tahun lalu  menerusi perkahwinan penuh adat istiadat namun mengikuti protokol kesihatan yang ditetapkan pihak berwajib di sana.