MONSTA meneruskan sambutan 10 tahun bersama BoBoiBoy yang bertemakan ‘BoBoiBoy Beyond’ dengan membawakan dua program istimewa raya bersempena dengan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba pada 13 Mei ini.

Salah satu daripada program khas Monsta tahun ini adalah iklan raya yang bertemakan Memori Eidulfitri.

Buat pertama kalinya, Monsta akan menampilkan seisi keluarga adiwira negara ini di dalam beberapa adegan nostalgia seperti BoBoiBoy bersama ayahnya Amato, Tok Aba dan juga Umi, nenek kepada BoBoiBoy.

Edisi iklan raya BoBoiBoy kali ini akan menyaksikan kemunculan istimewa ayah dan ibu BoBoiBoy.

Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa, Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata, iklan raya ini akan memberi kejutan kepada peminat setia BoBoiBoy.

“Selepas 10 tahun, para peminat dapat menyaksikan kemunculan pertama ibu BoBoiBoy, yang sentiasa menjadi topik hangat perbualan para penonton siri animasi ini.

“Kami sarankan kepada mereka yang ingin melihat sekilas rupa ibu kepada superhero tempatan Malaysia, anda perlu menonton iklan raya Memori Eidulfitri yang berdurasi selama 4 minit setengah ini hingga ke pengakhirannya,” katanya mengenai iklan yang sudah dimuat naik di laman YouTube rasmi Monsta serta Facebook rasmi BoBoiBoy sejak 8 Mei lalu.

Ia juga akan turut ditayangkan di kaca televisyen dan laman-laman digital utama, bukan sahaja di Malaysia, malah akan turut ditayangkan di stesen televisyen Indonesia.

Iklan

Kemeriahan raya dari Monsta tidak terhenti disitu. Lagu raya popular Papa Pipi, Aneka Baju Raya yang dinyanyikan oleh watak animasi popular Papa Zola dan Pipi Zola kini tampil dengan olahan baru yang dinyanyikan oleh selebriti terkenal Hannah Delisha.

Kemerduan suara dan irama nyanyian artis Hannah Delisha ini bakal membuatkan para pendengar dan penonton merasai keseronokan untuk memperagakan pelbagai jenis baju raya pada Aidilfitri ini. Lagu Aneka Baju Raya ini akan dimainkan di saluran-saluran radio utama tanah air dan juga pelantar muzik digital.

Iklan
Hannah akan menyanyikan semula lagu Aneka Baju Raya yang sebelum ini disampaikan watak animasi Papa dan Pipi Zola.

Klip penuh muzik video lagu Aneka Baju Raya versi Hannah boleh ditonton di YouTube rasmi Monsta, Facebook dan Tik Tok rasmi Papa Pipi.