SELEPAS pandemik Covid-19 semakin reda dan industri seni kembali rancak, penyanyi dan pelakon, Hazman Al-Idrus mahu merencana semula kerjaya seninya di Indonesia.

Pemilik nama sebenar Syed Muhammad Hazman Syed Yusof Al-Idrus itu mula dikenali negara jiran selepas mewakili Malaysia menyertai program realiti nyanyian D’Academy Asia musim pertama pada 2015.

Biarpun ketika itu banyak mendapat tawaran berlakon di sana, Hazman terpaksa menolak disebabkan terikat dengan aktiviti seni di tanah air, selain komitmen pada keluarga.

Kini, bintang drama Kisah Cinta Kita itu tekad kembali mengejar peluang tersebut dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke negara tersebut.

“Selepas tamat program D’Academy Asia, saya banyak terima tawaran lakonan dan nyanyian di Indonesia, namun terhalang dengan jadual penggambaran padat di tanah air, selain legal dokumen yang sangat rumit.

“Dari tahun 2016 hingga 2019, saya sering berulang alik ke sana atas urusan kerja. Selepas berkahwin pada tahun 2020, saya pernah merancang berhijrah ke sana bersama isteri, namun terhalang disebabkan pandemik.

“Setelah Covid-19 reda, kami tekad berhijrah pada awal tahun ini tetapi sekali lagi tidak kesampaian kerana faktor kesihatan ibu mertua. Hanya selepas keadaan ibu mertua semakin pulih baru-baru ini, barulah kami bertiga berhijrah ke Indonesia pada Oktober lalu,” jelasnya.

Hazman bersama isteri dan ibu mertua berhijrah ke Indonesia pada Oktober lalu.
Penampilan Hazman dalam salah sebuah program hiburan di stesen TV Indosiar.

Ditanya apakah keputusan itu dibuat kerana kerjaya seninya kurang menyinar di tanah air, selebriti berusia 34 tahun itu pantas menafikan.

Menurut Hazman, penghijrahannya lebih kepada mahu mengembangkan kerjaya dan menimba pengalaman baharu..

“Kerjaya seni di tanah air sebelum ini berjalan dengan baik, cuma selepas menyertai D’Academy Asia, saya banyak mendapat tawaran lakonan dan nyanyian di Indonesia.

“Saya melihat ia sebagai peluang terbaik untuk mengembangkan kerjaya ke peringkat antarabangsa.

Iklan

“Tidak pasti berapa lama saya akan berkelana di sini, tetapi mungkin dalam jangka waktu yang lama kerana untuk bina kembali kerjaya saya di Indonesia bukan perkara mudah,” tegas Hazman.

Cabaran

Berkongsi perancangannya selepas ini, artis kelahiran Terengganu itu bersyukur kerana kerjaya diuruskan oleh Hai Production yang banyak memudahkan langkahnya.

“Saya mahu fokus untuk membina kerjaya dalam lakonan dan nyanyian di mana kedua-duanya akan bergerak seiring.

“Pihak pengurusan juga sudah membuat perancangan setahun sebelum ke sini. Alhamdulillah segala yang kami rancang berjalan dengan lancar setakat ini,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Hazman mengakui terharu dengan sambutan peminat di Indonesia dan tidak menyangka ramai yang masih mengingatinya.

“Saya tak sangka ketika tampil menyanyi di Konser Kangen Merayu baru-baru ini, ramai kru di stesen TV Indosiar dan penonton masih ingat saya walaupun sudah lama tidak beraksi di sini.

“Bukan senang bersaing dengan artis di Indonesia, namun cabaran ini saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk berjuang menaikkan prestasi diri agar suatu hari nanti dapat membanggakan Malaysia,” katanya.