PRIHATIN dengan perkembangan semasa melibatkan bencana banjir yang melanda beberapa lokasi di Lembah Klang sejak seminggu lalu, TV AlHijrah merehatkan seketika barisan artis yang bertanding dalam program Hijrahkan Laguku.

Konsert minggu keenam program itu pada Sabtu lalu digantikan dengan Hijrahkan Laguku Solidariti Untuk Malaysia sebagai tanda menghormati rakyat Malaysia terutamanya mangsa banjir yang sedang berduka akibat musibah itu.

Program yang dihoskan oleh Faizal Ismail dan Ustaz Zarifi Daud itu menampilkan beberapa segmen termasuk kupasan berkenaan situasi banjir, persembahan nyanyian, bacaan al-Quran bersama tadabbur terjemahan, bacaan doa dan banyak lagi.

Antara artis undangan yang terlibat untuk edisi khas ini ialah Zack Kool, Rahmat Mega, kumpulan Zayne, Lah Ahmad dan Daqmie. Tidak ketinggalan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai penceramah jemputan, Furqan Fawwaz (Qari), Ustaz Fazrul Ismail (pentadabbur) dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid (bacaan doa).

Hijrahkan Laguku Solidariti Untuk Malaysia ini bertujuan untuk memberi semangat dan motivasi baharu kepada mangsa banjir, selain menggalakkan rakyat Malaysia membantu antara satu sama lain dalam menghadapi sebarang musibah.

Dalam masa sama, segmen-segmen yang ditampilkan juga diharapkan dapat memberikan inspirasi buat penonton untuk menyingkap hikmah di sebalik ujian yang menimpa rakyat Malaysia itu.

Konsert minggu ketujuh Hijrahkan Laguku akan diteruskan seperti biasa pada minggu hadapan, 1 Januari 2021 dengan menyaksikan enam bintang beraksi di pentas separuh akhir.

Mereka terdiri daripada PG Adam, Shahir Zawawi, Datuk Nash, Iwan Syahman, Zaff VE dan Mark Adam.

Iklan

Hijrahkan Laguku bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

Siaran ulangannya pula boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang, manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis Hijrahkan Laguku pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Iklan

 

(FOTO: TV ALHIJRAH)