POPULARITI dan kedudukan dimiliki aktor kacak, Zul Ariffin dalam industri bukan diperoleh dengan jalan mudah.

Mengikuti perjalanan kerjaya seninya, pelakon berusia 35 tahun itu ternyata berdepan seribu satu cabaran sebelum namanya mekar dan menjadi pilihan di kaca TV, mahupun layar lebar.

Prinsipnya jelas, tidak pernah meletak titik selesa dalam pencapaian dimiliki, sebaliknya mencari kelainan dengan menimba pengalaman baharu untuk mengorak langkah ke depan.

“Saya bekerja dengan ramai pengarah dan ada antaranya cukup menyenangkan sepanjang kami bekerjasama.

“Bagaimanapun itu tidak bererti saya perlu bekerja dengan orang yang sama sahaja kerana sebagai pelakon kita perlu merasa pengalaman dan kreativiti bersama pengarah berbeza untuk belajar lebih banyak perkara,” ujarnya.

Tidak hanya itu, aktor kelahiran Taiping, Perak itu juga sentiasa terbuka bergandingan dengan bakat baharu termasuk influencer, mahupun instafamous tanpa sebarang prejudis.

“Saya tidak ada masalah digandingkan dengan bakat baharu meski siapapun mereka kerana apa lebih penting adalah kita memberi yang terbaik dalam kerja.

“Kalau bercakap tentang pengalaman, semua orang termasuk saya pernah berada pada situasi sama di awal kerjaya masing-masing.

“Tiada seorang pun pelakon ternama di dunia ini terus hebat dalam penampilan pertama mereka di set. Jadi berilah peluang kepada orang baharu menimba pengalaman,” tegasnya.

Tidak mahu meletakkan dirinya pada level berbeza hanya kerana bergelar pelakon senior, Zul mengakui berasa seronok melihat semangat dan usaha keras bakat baharu setiap kali tampil berkerjasama.

“Saya seronok bekerja dengan pelakon baharu kerana mereka lebih semangat dan bermotivasi tinggi sehingga kita pun turut sama merasa vibe positif itu.

“Sebaliknya pula pada mereka yang sudah lama dalam industri, mudah berasa selesa dan jadi manja sehingga tidak dapat memberikan sepenuh komitmen di set,” ujarnya.

Hormat Rakan Gandingan

Berkongsi perkembangan terbaharu, Zul kini tampil dengan drama Love, Elsa, yang menyaksikan gandingan pertamanya bersama Uyaina Arshad.

Drama arahan Michael Ang itu sedang bersiaran di saluran Astro Ria, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam.

Iklan

Menafikan penampilan bertudung rakan gandingannya sebagai suatu yang membataskan kreativiti lakonan, Zul berkata, keserasian dalam lakonan tidak semestinya menerusi adegan bersentuhan.

“Bagi saya, hormat kena datang dulu dalam apapun yang dilakukan. Lain orang, lain cara. Jadi kenali rakan gandingan agar kita faham pendirian mereka, terutamanya yang berhijab.

“Adegan bersentuhan tidak semestinya menjanjikan keserasian. Buat apa nak buat, jika tiada keperluan.

“Sebagai pelakon kita melakukan apa yang diperlukan dalam naskhah dan bukan saja suka-suka nak buat. Paling penting kena tahu, rakan gandingan itu selesa atau tidak dengan adegan itu,” katanya.

Iklan

Mengulas tentang dirinya yang sebelum ini sering digosipkan dengan rakan gandingan, Zul berkata, dia tidak pernah melihat ia sebagai isu besar kerana memahami permainan dunia hiburan.

“Sebelum masuk industri lagi, saya sudah faham tentang isu-isu sebegini. Bila sering dikaitkan dengan gosip, saya kadang-kala takut nak beramah dengan rakan gandingan kerana kasihankan mereka.

“Saya mungkin tak kisah kerana sudah terbiasa, tetapi ia tidak adil buat mereka untuk terkena tempias gosip begini kerana mungkin boleh memberi kesan pada kerjaya yang baru nak bermula itu.

“Apapun gosip itu adat dunia hiburan dan kita tak dapat lari. Apa yang penting, cara bagaimana nak uruskannya,” tegas Zul yang sudah lebih sedekad dalam industri seni.