PENGUNDURAN dua ahli kumpulan Outbreak, Zaim Ajmal dan Zareef tidak mematahkan semangat tiga ahli yang masih kekal iaitu Shakirin Shah 21, Allif Firdaus, 21 serta Hakeem Zamall, 23, untuk terus mengejar cita-cita sebagai sebuah boyband di Malaysia.

Menyimpan segunung impian bagi menempatkan diri dalam industri seni hiburan, Outbreak kini tampil dengan single baharu berjudul Infiniti.

Menurut Shakirin, dia bersama ahli Outbreak menghormati keputusan dua sahabatnya yang tekad meninggalkan kumpulan itu dan mengakui sepanjang tiga tahun banyak kenangan dan kejayaan dicapai bersama.

“Kami menghormati keputusan Zaim dan Zareef untuk keluar daripada kumpulan Outbreak. Saya, Aliff dan Hakeem sentiasa mendoakan perjalanan mereka supaya terus berjaya dan dipermudahkan.

“Biarpun banyak kenangan pahit manis yang dilalui sepanjang tiga tahun menempa nama, namun kami tidak boleh patah semangat untuk terus ‘menghidupkan’ jenama Outbreak dan memastikan kumpulan ini terus diingati dan diterima ramai.

“Justeru, kami hadir dengan buah tangan baharu berjudul Infiniti. Single baharu ini menonjolkan kekuatan dan keunikan suara masing-masing selain  gandingan bertiga ini disifatkan cukup serasi,” katanya.

Lagu Infiniti adalah hasil ciptaan dan lirik oleh Wan Saleh. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, infiniti bermaksud, keadaan (masa, ruang) yang tidak ada batasnya, sekali gus membuatkan Outbreak tekad untuk meneruskan usaha seni mereka sehingga berjaya dan lebih berdaya maju.

Buah tangan terbaharu ini memberi inspirasi dan menyuntik semangat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus bangkit dan jangan pernah mengalah dalam hidup.

Melihat keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara, Infiniti juga dilihat mampu memberi mesej positif kepada pendengar supaya terus cekal dan kuat dalam mendepani dugaan hidup ketika ini.

“Infiniti adalah karya yang saya kira pembakar semangat untuk kita semua supaya terus kuat dan bangkit dalam apa juga dugaan yang dihadapi. Saya sangat menyukai lirik lagu ini yang menyebut ‘Ku Cuba, Berulang Ku Mencuba, Dengan Usaha Dan Doa, Jangan Mudah Putus Asa, Tetap Percaya’.

“Ia menyatakan bahawa kita semua tidak terlepas daripada ujian dan dugaan hidup, namun setiap liku-liku kehidupan yang dihadapi pasti ada harapan dan jalan terbaik untuk menuju kejayaan.

Iklan

“Ketika merakamkan lagu ini, saya akui sangat bersemangat untuk menyanyikannya kerana lagu ini sangat bermakna dalam hidup saya. Banyak dugaan yang kita semua hadapi ketika ini, namun kita tidak pernah mengalah, malah sentiasa berdoa dan berusaha,” ujar Hakeem.

Dalam pada itu, Aliff berkata, dia berharap Infiniti dapat diterima ramai kerana lagu ini sangat bersesuaian dengan situasi yang dihadapi semua orang.

“Walaupun aktiviti promosi lagu ini sedikit terhad memandangkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) , namun kami yakin dengan karya ini serta sokongan padu daripada semua pihak,” katanya.

Iklan

Infiniti kini boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Deezer dan YouTube Music. Manakala video lirik rasminya pula boleh disaksikan di saluran YouTube Beegood Music.