MEMEGANG status sebagai selebriti, bukanlah tiket percuma buat peminat untuk mengetahui segala kisah luar dan dalam artis kesayangan mereka.

Sebagai manusia biasa, mereka juga mempunyai hak untuk menyimpan privasi masing-masing. Bagi sesetengah artis, cukuplah sekadar orang ramai mengetahui segala intipati tersirat sahaja, sementara yang tersurat biarlah ia disimpan kemas.

Bagaimanapun, lumrah anak seni yang selalunya dilabelkan sebagai ‘harta awam‘, golongan itu adakalanya terpaksa memberi sedikit kelonggaran kepada peminat untuk mengakses maklumat bersifat intim.

Bukan apa, bukankah nadi kejayaan seseorang artis didokong oleh sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi?
Sedar mengenai perkara itu, pelakon kacak yang semakin dikenali, Hun Haqeem tidak melatah apabila dilontarkan dengan pertanyaan terhadap sikapnya yang agak berjaga-jaga menerusi platform media sosialnya.

Bukan bermaksud tidak mahu berkongsi langsung tetapi aktor berusia 23 tahun itu mengakui, dirinya lebih selesa untuk memaparkan gambar aktiviti melibatkan kerjaya, berbanding sisi peribadi di Instagram.

“Sebelum ini terdapat juga pihak yang bertanyakan tentang hal sebegini, namun jawapannya tetap sama iaitu saya ingin menjaga privasi terutama melibatkan soal peribadi dan keluarga.

“Lagi pun, peminat sudah melihat saya di kaca televisyen, jadi saya berpendapat biarlah selebihnya kekal ‘misteri‘ dan menjadi simpanan peribadi,“ luah pelakon klip video Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siapa Tak Mahu itu kepada SinarPlus baru-baru ini.

Aktor yang mesra disapa sebagai Hun itu juga tidak menafikan dirinya tetap mempunyai perkongsian beberapa detik manis bersama ahli keluarga, namun ia boleh dikira dengan jari.

Apa pun, beliau tetap dengan pendirian tegasnya. Ungkap selebriti kacukan Melayu-Cina itu, dirinya ingin meletakkan satu garis halus agar dapat membezakan antara realiti kehidupan dengan ‘dongeng‘ media sosial.

Pelakon yang popular dengan watak Jaafar dalam drama bersiri Kampung People itu juga mahu mengelakkan diri daripada terus ketagihan memuat naik status atau gambar yang kurang signifikan sehinggakan dirinya tidak berminat untuk melakukan aktiviti lain.

Biarlah artis-artis lain melontarkan pendapat, waima berkongsi tentang hal famili termasuk memberi penjelasan setiap kontroversi yang terpalit kepada mereka. Namun, bagi Hun, biarlah beliau lebih bersederhana kerana sikap itu lebih indah.

Handal memasak

Lupakan seketika kontroversi kecil itu, penulis yang menghubunginya baru-baru ini ingin berbicara tentang hal yang lebih menceriakan.

Beritahu Hun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekian lama telah dikuatkuasakan telah memberi lebih ruang dan peluang kepadanya melengkapkan diri dengan ilmu masakan.

Namun, kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, minatnya dalam dunia kulinari sudah mula bercambah sejak remaja dan dia menjadikan aktiviti tersebut sebagai salah satu cara bagi menghilangkan tekanan yang bersarang dalam jiwa.

Kemahiran itu dimantapkan lagi saat PKP apabila banyak aktiviti di luar rumah tidak dibenarkan termasuk menjalani sesi penggambaran.

“Ketika zaman kanak-kanak, saya gemar menonton kartun tetapi apabila meningkat dewasa, saya tertarik pula dengan rancangan berkonsep memasak sambil mengembara (travelog) seperti Asian Food Channel (Asian Food Network) dan Food Network.

“Lama kelamaan minat tersebut berkembang dan saya mula mempelajari serba sedikit. Sekiranya ingin disamakan seperti seorang cef di hotel, mungkin tidaklah.

“Cukup sekadar untuk menyediakan hidangan buat ahli keluarga atau kenalan yang berkunjung di rumah ketika sebelum PKP,“ katanya yang mampu menyediakan hidangan tempatan terutama laksa Sarawak.

Bersama penulis, Hun sempat berkongsimomen indah sewaktu beliau bersama rakan-rakan menyediakan hidangan dan makan bagi menghabiskan waktu berkualiti.

“Disebabkan kami semua memiliki telefon bimbit, kami mensyaratkan agar semua telefon diletak di dalam sebuah kotak setiap kali acara makan-makan bermula.

“Itu semua bagi memastikan setiap daripada kami dapat bersembang tanpa sebarang gangguan. Memang langsung tiada sesi fotografi makanan atau apa saja kerana kami ingin menikmati saat indah itu bersama,“ katanya yang sedikit berjiwa sentimental.

Pentas Hollywood

Selain mengasah bakat memasak, tempoh ‘berehat‘ itu juga digunakan untuk Hun bermuhasabah diri dan mempelajari teknik lakonannya dengan cara menonton filem.

Tidak mengira sama ada tempatan mahupun antarabangsa, Hun memperhalusi pelbagai jenis genre filem. Namun, paling menarik perhatian jejaka zodiak Capricorn itu adalah karya jenis fiksyen.

Ini kerana filem sebegitu banyak melibatkan penggunaan skrin layar hijau atau biru bagi memudahkan untuk melakukan kesan khas imej janaan komputer (CGI).

Luah Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, beliau ingin mempelajari dan mengetahui teknik lakonan terutama melibatkan produksi Hollywood.

Baginya, bukan mudah untuk menggambarkan sesuatu yang tiada di depan mata dan mengubahnya untuk kelihatan realistik seperti benar-benar wujud.

Iklan

Bercerita mengenai perkara itu, secara tidak langsung mengingatkan penulis kepada penghasilan filem terbitan KRU Studios, Cicakman.

Dalam filem tersebut, banyak menggunakan teknik CGI terutama pada bahagian latar belakang bagi menggambarkan sesebuah lokasi agar kelihatan lebih asli.

Memang benar tidak dinafikan penghasilan filem sebegitu agak kurang diketengahkan di Malaysia. Selain kos penghasilan yang tinggi, tahap sokongan penonton terhadap karya anak tempatan yang diterima tidak sama seperti naskhah antarabangsa.

Biarpun begitu, Hun tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana setiap individu mempunyai hak dan minat masing-masing. Namun, baginya, jika menerima peluang untuk terlibat dengan filem genre seperti itu pada masa hadapan, nescaya beliau sama sekali tidak akan menolaknya.

“Saya ingin menimba pengalaman bekerja di negara orang tidak mengira sama ada di Hollywood atau tempatan, tetapi, jika memperolehnya di tempat sendiri, mengapa tidak?

“Tujuan saya untuk membintangi naskhah antarabangsa terutama di Hollywood kerana ingin mengetahui bagaimana negara luar menghasilkan filem atau sesebuah karya, selain dapat mengharumkan nama negara,“ tuturnya penuh semangat dan optimis.

Naik pelamin

Dalam pada menzahirkan keinginan untuk mencipta nama di persada antarabangsa, Hun juga tidak terlepas diajak berbicara tentang cinta.

Biarpun mulutnya terkunci rapat untuk mendedahkan sama ada dirinya sudah menemui cinta hati atau sebaliknya, Hun lebih senang mengaku bahawa beliau bersedia mendirikan rumah tangga.

Iklan

Katanya, umur 23 tahun bukan penghalang untuk mendirikan rumah tangga kerana kematangan tidak diukur pada usia. Malah, perancangan murni itu sudah menjadi sasaran dan tersenarai dalam agenda masa depannya.

“Memang benar ajal, maut dan jodoh ketentuan ALLAH. Apa yang saya boleh buat sekarang adalah merancang, membuat persediaan, mempelajari dan memahami tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila sudah memiliki isteri serta cahaya mata kelak.

“Tidak semestinya bila sudah ada pasangan, baru nak ambil berat tentang hal sebegini. Bagi saya, tidak salah untuk berkahwin pada usia muda, sekali gus membina keluarga,“ ujarnya yang mengharapkan agar impiannya itu terlaksana.

Hun juga bersyukur hasratnya tidak mendapat bantahan daripada keluarga, apatah lagi menyekatnya daripada berumah tangga dalam tempoh masa terdekat.

Selebriti kacak yang diasak beberapa kali untuk memberitahu siapa gerangan wanita bertuah itu hanya melepaskan ketawa kecil seraya secara perlahan-lahan mahu mengakhiri bicara kami.

Beliau seolah-olah membiarkan penulis dan khalayak berteka-teki siapakah identiti wanita yang berjaya menambat hatinya.

Sebelum ini, Hun pernah dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengan pelakon dan penyanyi, Wanna Ali.
Namun, kedua-duanya menafikan dakwaan itu dan mengatakan hubungan mereka hanya sekadar seorang kawan, tidak lebih daripada itu.

 

Jangan lupa follow Sinaplus di Instagram