PENYANYI Farhan Azizan berdepan situasi tidak terjangka setelah mendapati sebiji manik telah memasuki hidung anak keduanya, Orkeyd Fatheema, 2, kelmarin.

Menurut Farhan yang juga bintang Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) itu, dia dan suami, Ahmad Rashadan Suhaimi bergegas ke hospital setelah usaha mereka untuk mengeluarkan manik tersebut tidak berjaya.

“Alhamdulillah saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Doktor Ghazi, pakar ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) di Hospital Sungai Buloh kerana telah berjaya mengeluarkan manik dalam hidung Orkeyd Fatheema.

“Juga terima kasih kepada semua yang telah mendoakan…,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

Orkeyd Fatheema bersama kakaknya, Souffea Zulaeqha dan gambar kanan, kedudukan manik dalam hidung Orkeyd. (Gambar Facebook Orkeyd Farhan).

Mengimbau semula detik kejadian, Farhan berkata, dia hanya menyedari manik di dalam hidung anaknya itu selepas Orkeyd memaklumkan ada sesuatu di dalam mulutnya.

“Selepas selesai solat Asar saya sedar manik tasbih berterabur kerana kedua-dua anak saya berebut dan menariknya sehingga talinya putus.

“Jadi saya pun kutip lah semua dan buang. Mereka pun main macam biasa seperti tiada apa yang berlaku.

“Malam tu selepas makan, Orkeyd tunjuk ada sesuatu di gigi dia. Jadi suami pun baringkan dia untuk lihat di dalam mulut tapi kebetulan ternampak sesuatu dalam hidung dan ia adalah manik tasbih tu,” katanya seperti dilaporkan Astro Gempak.

Iklan

Tambah Farhan, hanya sebiji manik yang terdapat dalam hidung Orkeyd dan anaknya itu sudah kembali aktif selepas manik tersebut berjaya dikeluarkan.

Malah Farhan turut menitipkan pesanan buat ibu bapa.

“Saya faham sebagai ibu, kita ni ibu banyak kerja di rumah sehinga kadang-kadang boleh terlepas pandang apa yang anak kita lakukan, jadi nasihat saya selalulah perhatikan anak-anak kita terutama yang masih kecil.

Iklan

“Selain itu, cuba elak dedahkan anak kepada barang-barang yang membahayakan serta barang kecil yang ada potensi untuk mereka masukkan ke dalam anggota badan seperti hidung , mulut, telinga dan sebagainya,”pesannya.

Pasangan ini turut mempunyai seorang lagi anak Souffea Zulaeqha berusia 4 tahun.