Ibu saya hanya dapat mengingati memori-memori lama - Hafiz Zainal

Dr Hafiz zainal
Dr Hafiz zainal
A
A
A

GENAP seminggu meraikan Syawal sendirian di ibu kota, penyanyi dan doktor gigi yang semakin dikenali ramai, Hafiz Zainal, mengakui sangat merindui ibunya di Johor Bahru.

Apatah lagi kata Hafiz, 29, ibunya yang sudah hampir tiga tahun menghidap Alzheimer itu terlalu mengharapkan kepulangannya.

“Sebelum ini saya tidak pernah sekali pun gagal pulang beraya bersama ibu sehinggalah tercetusnya pandemik Covid-19, sekali gus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tahun kedua berturut-turut.

“Walaupun kakak kedua dan adik perempuan saya ada bersama ibu di sana, tapi sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, saya agak sayu tidak dapat pulang menjengoknya.

“Ibu saya hanya dapat mengingati memori-memori lama dan dia tidak tahu apa yang berlaku sekarang, baik tentang pandemik, PKP dan sebagainya. Dia tak mampu nak proses semua itu,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu lagi.

Bagaimanapun kata Hafiz yang juga merupakan bekas peserta program Big Stage musim ketiga, dia sangat berharap agar dapat menemui ibunya dalam masa terdekat.

“Sejak arwah ayah meninggal, sayalah ketua yang menjaga keluarga. Jadi sedihlah bila berdepan situasi begini.

“Walaupun ibu tak dapat luahkan perasaannya dengan kata-kata, setiap kali melihat wajah dan membaca gerak gerinya, saya tahu dia sentiasa menunggu kepulangan saya.

“Jadi saya mohon kepada semua orang patuhlah pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan agar kita dapat melakukan rutin bersama orang-orang kita sayang seperti dulu,” luahnya.

Dalam perkembangan lain, graduan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia itu teruja untuk memulakan perjalanan baharu menerusi klinik pergigian miliknya sendiri yang bakal beroperasi dalam masa terdekat.

Meluahkan rasa syukur apabila impian membuka Klinik Pergigian Toothsuite yang terletak di Bukit Jalil itu menjadi kenyataan, Hafiz tidak sabar menyumbang bakti pada masyarakat.

“Sejak awal bergelar pelajar dalam bidang pergigian lebih 10 tahun lalu, saya sudah menyimpan impian untuk buka klinik pergigian sendiri, selain meneruskan minat dalam bidang nyanyian.

“Saya tidak pernah putus usaha untuk merealisasikan impian dengan mengumpul pengalamaan dan modal sepanjang tempoh itu.

“Alhamdulillah, ia kini hampir menjadi kenyataan. Semuanya sudah siap sedia, cuma menunggu kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja, sebelum ia beroperasi sepenuhnya,” katanya yang juga bakal tampil dengan single baharu tidak lama lagi.

 

(FOTO: Instagram Hafiz Zainal)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca