BERADA lebih kurang 1,200 kilometer dari Kuala Lumpur tidak menjadi batu penghalang buat Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin kekal aktif di industri seni tempatan.

Ujar Iedil Dzuhrie, 38, biarpun memilih untuk menetap di Jakarta bersama isteri tercinta yang juga aktres terkenal Indonesia, Prisia Nasution, namun dia tidak pernah sesekali melupakan tanah airnya.

Apatah lagi melupakan industri seni yang sudah diceburi sejak tahun 1998.

“Walaupun saya menetap di sana, tetapi saya tidak pernah lupakan industri seni dan karier saya di Malaysia.

“Tidak bermakna bila sudah tinggal di Jakarta maka keutamaan saya hanyalah tawaran dari sana. Sejujurnya buat masa sekarang saya tidak ada tawaran di sini dan masih menantikan (tawaran) daripada kawan-kawan.

“Kalau ada tawaran, saya tidak kisah untuk berulang alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Iedil, biarpun lebih banyak masa di Jakarta, karier seninya masih belum cukup mantap meskipun tawaran tidak pernah putus.

IEDIL DZUHRIE
Iedil meluahkan rasa bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada isteri tercinta, Prisia Nasution.

Jelasnya, di Jakarta, dia tidak ubah seperti pelakon baharu dan masih banyak yang perlu dipelajari.

Iklan

“Tidak ada istilah penat apabila berulang-alik, sebaliknya saya seronok kerana dapat belajar banyak perkara baharu, bukan hanya dari segi bahasa, tetapi juga cara bekerja.

“Alhamdulillah tawaran juga sentiasa ada, walaupun bukan semua watak utama, tetapi saya tidak kisah kerana seperti saya katakan, ini adalah salah satu proses pembelajaran.

“Pernah juga saya ditawarkan menjadi hos program. Cuma bukan semua saya ambil, kalau rasa bersesuaian baru saya buat.

Iklan

“Isteri juga banyak memberi sokongan dan kami sering bertukar-tukar pandangan mengenai tawaran kerja atau watak yang akan dijayakan,” jelasnya.

Iedil dan Prisia mendirikan rumah tangga pada 1 Jun 2016 di Bogor, Indonesia.