DUNIA seni lakonan adalah jiwanya. Sebati semenjak usia belasan tahun sehingga kini tatkala sederetan naskhah filem, drama mahupun teater dijayakan dengan sepenuh hatinya. Itulah kelebihan pelakon berbakat hebat, Nabila Huda.

Tidak pernah menjadikan populariti bapanya, penyanyi rock terkenal, Amy Search, sebagai tiket mencipta nama, Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil berjaya membuktikan kemampuan menerusi pelbagai anugerah yang mengiktiraf bakat lakonannya.

“Lakonan adalah jiwa saya dan semestinya sentiasa memberikan seratus peratus komitmen dalam setiap kerja diamanahkan.

“Saya tidak suka buat separuh hati, itu bukan prinsip saya. Kalau sudah bersetuju untuk satu-satu tawaran, saya akan buat sungguh-sungguh bukan sahaja untuk lakonan, tetapi juga persiapan lain sebelum masuk ke set.

“Saya berlakon bukan untuk mengejar kemasyhuran, tetapi kerana memang ini minat yang sebati dalam jiwa saya,” katanya.

Penampilan Nabila sebagai Erma Erika dalam drama Diva Popular.

Menurut selebriti berusia 37 tahun itu lagi, dia juga sanggup membelanjakan wang sendiri untuk persediaan watak dijayakan dalam sesebuah naskhah demi kepuasan diri.

“Memang menjadi kebiasaan saya untuk buat persiapan rapi sebelum masuk ke set penggambaran termasuk menyediakan sendiri solekan dan pakaian untuk karakter yang bakal dilakonkan.

“Terbaru saya turut berbelanja besar untuk karakter sebagai Erma Erika dalam drama Diva Popular dengan menggunakan khidmat jurusolek sendiri, selain membawa personal wardrobe.

“Bayangkan selepas ditolak segala perbelanjaan tersebut, bayaran gaji saya hanya berbaki RM2,000 sahaja untuk drama ini. Sebab itulah saya tidak kaya raya kerana suka berbelanja untuk karakter demi kepuasan diri,” katanya.

Berkongsi penglibatannya dalam drama Diva Popular, arahan Rashid Sibir yang kini hangat disiarkan di Awesome TV, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam, Abil berkata, ia merupakan watak komedi pertama dijayakan setakat ini.

“Watak Erma Erika benar-benar mencabar kredibiliti sebagai seorang pelakon kerana komedi bukan genre saya.

“Sewaktu ditawarkan watak ini oleh Erma Fatima selaku penerbit, saya menolak kerana takut jika tidak dapat memberikan yang terbaik, ia akan merosakkan kerjaya lakonan saya.

“Bagaimanapun Erma tiba-tiba mencabar saya dan saya sahut cabaran itu. Biarpun pada awalnya agak sukar dan malu untuk beraksi watak komedi, saya akhirnya berjaya hidupkan watak itu dengan cara sendiri,” ujarnya.

Iklan

Kelas lakonan percuma

Dalam pada itu, Abil yang baru sahaja bebas daripada jangkitan Covid-19 pada Mei lalu, mengakui tidak mengambil sebarang tawaran lakonan dalam tempoh terdekat dan memutuskan untuk berehat selama dua bulan.

“Sepanjang bergelar pesakit Covid saya rasa benar-benar sengsara dan menjadi paranoid. Ketika dijangkiti, saya selsema dan mengalami sakit tekak yang teruk.

“Alhamdulillah saya sudah sembuh, cuma deria rasa dan bau belum kembali sepenuhnya. Saya difahamkan ia mengambil mengambil sedikit masa dan harap semuanya akan okey nanti.

“Ada beberapa tawaran filem dan drama yang saya terima, tetapi buat masa ini biarlah saya berehat dahulu. Selain baru sembuh daripada Covid-19, saya juga bimbang dengan jumlah peningkatan kes harian yang masih lagi tinggi buat masa ini,” tegasnya yang sudah menerima suntikan vaksin dos pertama baru-baru ini.

Iklan

Dalam perkembangan lain, mengisi masa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Abil mengambil inisiatif mengadakan kelas lakonan percuma secara dalam talian kepada mereka yang berminat untuk belajar lakonan.

“Saya juga pernah lalui fasa tidak pandai berlakon ketika awal kemunculan dulu, tapi saya belajar. Hari-hari belajar dan berlatih, selain timba pengalaman di set untuk jadi lebih baik.

“Jadi saya berbesar hati buat kelas lakonan secara percuma dan ikhlas nak kongsi ilmu asas menjadi seorang pelakon mengikut pendekatan saya.

“Saya bukanlah bagus sangat, tapi saya ada cara sendiri untuk bantu. Saya harap peluang yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat tolong mereka perbaiki apa yang kurang,” katanya.