Iman Troye tolak jadi wanita mata duitan

A
A
A

PADA penghujung bulan lalu, nama Iman Troye menjadi bualan hangat. Mana tidaknya, penyanyi lagu Teman itu dikhabarkan sudah menemui teman hidupnya. Individu yang dikatakan menjadi belahan hatinya itu tidak lain tidak bukan ialah Naim Daniel.

Perkongsian sekeping foto dalam laman Instagram yang memperlihatkan Iman seolah-olah sudah mengikat tali pertunangan dengan selebriti lelaki popular itu memang mengejutkan banyak pihak.

Maka, bertalu-talulah andaian dan telahan yang tanpa usul periksa bertebaran. Warganet menyimpulkan bahawa gadis berusia 19 tahun itu sudah bertunang dan bersedia melangkah ke gerbang perkahwinan pada usia yang masih mentah.

Namun, berita berkenaan rupa-rupanya hanyalah ilusi peminat yang mungkin mengharapkan hubungan abang dan adik itu berakhir ke jenjang pelamin.

Sebaik warganet mengetahui mereka ditipu bulat-bulat, Iman teruk dikecam. Ramai beranggapan gurauannya keterlaluan dan menjengkelkan.

Biarpun begitu, situasi tersebut sedikit pun tidak menjejaskan emosi pemilik horoskop Capricon itu, apatah lagi meninggalkan kudis pada dirinya.

Kata Iman, secara peribadi, beliau sudah bersedia dan berlapang dada menerima segala teguran netizen, baik dari sisi positif ataupun negatif.

“Kata-kata yang merobek jiwa ini memang sesuatu di luar jangkaan, namun ini yang membuatkan saya memahami akan erti kehidupan yang boleh mematangkan diri saya. Tidak kira sama ada elok atau tak, saya akan ambilnya untuk dijadikan pedoman demi mencorak diri supaya menjadi lebih baik.

“Pada kesempatan ini, saya sekali lagi ingin memberi pencerahan bahawa segalanya itu hanya satu gurauan di antara saya dengan Naim. Tujuan saya lakukan ini hanyalah untuk membalas gurauan Naim sebelum ini,“ terang Iman panjang lebar bagi menjernihkan segala kekeruhan yang melanda.

IMAN menganggap hubunga bersama Naim Daniel hanya sekadar abang dan adik selain tidak lebih daripada itu.

Seperkara lagi, ujar artis kecil molek tersebut, sudah menjadi sifat semula jadinya yang mudah bergaul dan berbicara.

Karakter itu membuatkannya cepat mesra dan dapat menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja. Disebabkan itulah khalayak merumuskan dirinya menjalin hubungan dengan penyanyi lagu Sumpah itu.

Bukan materialistik

Ah! Terlalu awal rasanya untuk membicarakan soal perkahwinan dengan gadis belasan tahun itu.

Namun, Imam nampaknya seorang yang matang untuk bercakap tentang topik tersebut. Sambil menghela nafasnya, pemilik nama lengkap Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin itu berkongsi kriteria bakal imamnya kelak.

Baginya, harta benda atau wang ringgit bukan ukuran. Tegas Iman, peri penting lelaki itu mestilah memiliki hati yang tulus, saling hormat menghormati, setia dan menyayangi antara satu sama lain.

“Bukan saya kata duit langsung tidak penting, tetapi kebahagiaan rumah tangga tidak tertumpu kepada itu sahaja. Saya memilih untuk berusaha bersama-sama dalam keadaan susah dan senang. Pengorbanan perlu ada jika kita benar-benar inginkan sesuatu,“ jelasnya yang mengaku dirinya bukanlah seorang yang materialistik.

TERLALU awal untuknya bercakap tentang jodoh, tetapi Iman sepertinya sudah mempunyai perancangan bagi menyusun atur perihal rumah tangganya kelak.

Meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia sekitar umur 30 tahun, Iman bagaimanapun tidak menolak jika jodohnya ditakdirkan bersama lelaki yang berada dalam radar industri hiburan.

Lebih memahami dunia sepak terajang sebagai anak seni, memilih pasangan sealiran dirasakan senada dan seirama kerana kedua-duanya saling mengerti corak kerja masing-masing.

Namun, pengakuan tersebut tidak bermakna Iman mengesahkan beliau sedang menjalin hubungan dengan sesiapa. Ujarnya, biarlah relasi dibina tertumpu kepada keluarga, berbanding kisah cinta.

“Jangan bimbang, jika sudah sedia saya akan beritahu. Buat masa sekarang, saya tidak terlintas langsung untuk mencari pasangan kerana misi saya kini hanya untuk kerjaya dan keluarga. Tambahan, saya masih baharu dan lebih baik saya memperbaiki kekurangan diri agar mampu bertahan lama di dalam industri ini,“ ujarnya lembut.

Sensitiviti

Kepada penulis, Iman berkongsi rasa. Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, kehidupan sebagai selebriti sedikit sebanyak memerlukan beliau bersikap terbuka untuk peminat lebih mengenali dirinya.

Namun, itu tidak bermakna tiada batasan sehingga hilang nilai eksklusif diri.

Butir bicara gadis itu sebenarnya merujuk kepada media sosial yang merupakan jambatan penting artis mendekatkan diri dengan para peminat.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjadikan perkongsian di medium tersebut sebagai rutin kemestian untuk memaparkan segala kisah peribadi.

Ketika ditanya mengapa memilih jalan sebegitu, Imam berkata, beliau ingin fokus kepada kerjaya terlebih dulu. Kedengaran sangat klise, tetapi itulah yang dijelaskannya kepada penulis.

Remaja itu kemudian menambah: “Memandangkan keadaan semasa menyaksikan kita masih bergelut dengan wabak Covid-19, jadi saya fikir ini bukan masa yang sesuai untuk kongsikan sebarang aktiviti peribadi. Disebabkan itu saya lebih fokus kepada soal kerja.

IMAN memilih untuk tidak terlalu berkongsi aktiviti peribadi beliau di media sosial demi menjaga privasi.

“Lagipun saya tidak mahu ada ahli keluarga yang rasa tidak selesa jika saya kongsikan gambar mereka. Saya kena hormat dengan privasi mereka.“

Pelajar jurusan muzik di Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu terus menguatkan lagi prinsip dirinya.

“Sebagai seorang pelajar juga, saya perlu berhati-hati dalam berkongsi sebarang perkara dalam media sosial kerana semuanya akan diambil kira nanti. Biarlah keadaannya begini saja dulu,“ tutur Iman lembut.

Enggan dipanggil kayu

Bercakap soal kerjaya, Iman memberitahu, Jihan Muse merupakan selebriti yang sangat dikaguminya. Mudah kata, Jihan merupakan idola beliau.

Kekagumannya terhadap pengacara Gegar Vaganza itu semakin bercambah apabila mereka berpeluang bertentang empat mata dalam program hiburan, I Can See Your Voice musim kedua.

Pertemuan tersebut secara tidak langsung membuatkannya menyimpan hasrat untuk bergelar pengacara.

Jihan ujar Iman, seorang artis senior yang tidak lokek membahagikan ilmu dan sama sekali tidak membezakan ‘darjat‘ dengan artis baharu lebih-lebih lagi mereka yang digelar BBNU (Budak Baru Nak Up).

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, beliau yakin dengan kemampuan dirinya untuk menongkah satu cabang seni baharu pada masa akan datang.

APABILA sudah bersedia, Iman merancang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya jenis yang petah berbicara dan suka bersembang dengan sesiapa sahaja biarpun orang itu saya tidak kenal atau berjumpa semasa sedang menunggu.

“Namun, sebelum mulakan perbualan, biasanya saya akan scan (imbas) orang itu sebelum bercakap secara santai dan bersahaja dengannya,“ katanya.

Pun demikian, buat masa ini, Iman berterus terang bahawa beliau belum cukup bersedia untuk mengalas tanggungjawab sebagai pengacara lebih-lebih lagi untuk berinteraksi bersama penonton seorang diri di atas pentas.

“Mengacarakan program dan membuat persembahan merupakan dua perkara yang berbeza, meskipun kedua-duanya dilakukan di atas pentas. Saya perlu mempersiapkan diri dulu sebelum betul-betul mahu melangkah ke bidang itu (pengacaraan) ataupun lakonan.

“Saya enggan digelar kayu dan saya sedar kuasa media sosial sangat menakutkan. Jika ingin redah saja, sesiapa pun boleh, tetapi untuk melakukannya secara berkualiti, bukan semua boleh buat,“ jelas penyanyi lagu Nang itu.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca