MENGAKUI masih hijau dalam dunia lakonan yang meletakkan dirinya dengan seribu satu pengalaman baharu, bintang sedang meningkat naik, Fify Azmi terbuka mempersiap dirinya dengan apa sahaja cabaran.

Tidak hanya di filem, namun penampilannya di kaca televisyen menerusi drama yang dibintangi juga sentiasa menunjukkan kesungguhannya memberikan yang terbaik untuk setiap watak dijayakan.

Bagaimanapun disebabkan penampilan Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi, yang sering tampil dengan imej berambut pendek, ramai yang mengangggap bekas finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu selesa menjayakan watak wanita lasak dan kasar.

Terbaharu drama Ratu Ten Pin yang dibintanginya menerusi watak Reesz juga memberi persepsi serupa apabila digambarkan dengan karakter tomboy, seolah-olah tiada kepelbagaian dalam lakonannya.

“Mungkin disebabkan penampilan saya yang sering berambut pendek, ada yang beranggapan saya lebih terarah untuk menjayakan watak lasak atau karakter tomboy.

“Hakikatnya Ratu Ten Pin merupakan kali pertama menyaksikan saya membawa watak sebagai tomboy.

“Manakala untuk filem Wira sebelum ini, saya memegang watak berbeza dengan pelbagai babak aksi selari dengan konsep dan genre filem itu,” ujarnya yang tidak pernah menghadkan kemampuannya pada satu-satu karakter sahaja.

Malah kata Wanita berusia 31 tahun itu lagi, sebelum memasuki satu-satu set penggambaran, dia terlebih dahulu membuat persediaan dan kajian bagi watak yang dijayakannya agar apa yang dilakukan menepati kehendak karakter tersebut.

Hal sama dilakukan untuk drama Ratu Ten Pin yang menyaksikan dirinya perlu mempamerkan kebolehannya bermain boling dengan baik.

“Walaupun nampak mudah, tetapi ia sebenarnya sangat mencabar. Memang saya pernah dan tahu bermain boling, tetapi saya bukanlah profesional yang tahu segalanya tentang sukan itu.

“Benda yang dianggap kecil seperti pemilihan kasut dan pakaian juga perlu diambil kira agar penampilan untuk watak itu dapat menyakinkan penonton.

Iklan

“Jadi kenalah buat kajian sedikit, ambil tahu perkara-perkara asas tentang sukan itu dan bukan sekadar fokus kepada lakonan semata-mata. Paling penting kita nampak profesional,” katanya.

Fify terbuka menerima apa sahaja watak untuk menguji kemampuan diri.

Selain itu, Fify, dia juga mengakui tidak mudah untuknya melakonkan watak sebagai tomboy sebagaimana dituntut dalam watak drama berkenaan.

“Memang susah nak bawa watak tersebut kerana saya tiada pengalaman itu. Karakternya bukan setakat berlagak kasar, tetapi banyak aspek lain perlu diambil kira seperti cara bercakap dan sebagainya.

Iklan

“Bagaimanapun pengarah dan rakan-rakan pelakon lain banyak membantu kerana masing-masing mahu memberikan yang terbaik untuk drama ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, selebriti kelahiran Subang Jaya itu, banyak mengisi lapangnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan melakukan aktiviti senaman di rumah.

Setiap hari ada sahaja perkongsian tentang aktiviti sihat itu di laman Instagram miliknya, sekali gus memberi inspirasi kepada para pengikut dan peminatnya untuk sentiasa positif meski tertekan dengan situasi pandemik yang semakin meruncing.