Impi tambah anak, Misha Omar mulakan misi Menjejak Khadeja

June 20, 2021
Oleh Aqmar Mustaza

PENYANYI Misha Omar mendedahkan dia kini dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua setelah lima tahun melahirkan anak sulung, Muhammad Idris Ezzwa.

Jelas Misha, sebagai permulaan dia sudah menjalankan ujian hormon Anti-Mulleroian (AMH) menerusi pengambilan darah bagi mengenal pasti tahap kesuburan.

“Kami memang telah merancang menambah cahaya mata sejak tahun lalu. Tapi sebenarnya proses yang dilalui masih di peringkat awal dengan mendapatkan dulu nasihat pakar selain menjalani ujian kesuburan,” ujarnya.

Tambah Misha, 39, dia sudah mendapatkan nasihat pakar dan berharap misi Mencari Khadeja ini akan menjadi inspirasi kepada pasangan lain yang berusaha mendapatkan cahaya mata.

Iklan

“Kak Mitch (panggilan mesra Misha) mencari Khadeja. Kak Mitch sudah berjumpa doktor sebagai langkah pertama untuk #menjejakkhadeja.

“Hashtag ini kak Mitch saja gunakan sebegitu sebagai doa yang akan menjadi penguat semangat untuk mencari anak perempuan kami.

Iklan

“Di setiap proses yang akan kak Mitch jalani, kak Mitch akan share juga pengetahuan yang kak Mitch dapat dengan anda semua.

“Semoga doa kalian akan mengiringi kak Mitch. Boleh juga dijadikan inspirasi bagi yang sedang berusaha mendapat anak juga,” katanya.

Misha mahu berkongsi perjalanan misi mencari Khadeja ini dengan peminat dan berharap ia dapat dijadikan sumber inspirasi.

Misha mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014. Selain Idris, penyanyi Cinta Sekali Lagi itu juga memiliki seorang anak angkat lelaki, Muhammad Adam Emir yang kini berusia 15 tahun.