MESKI pada awalnya pernah meragui kemampuan diri, pelakon dan usahawan, Tya Ariffin kini mampu berbangga apabila perniagaan jus kesihatan Mutyara miliknya itu mula mencipta kejayaan demi kejayaan.

Bukan sahaja jenama tersebut mula dikenali ramai, tetapi perniagaan yang diusahakan bersama suami, Asyraf Khalid itu, mencatat satu lagi kejayaan apabila berjaya memiliki wisma sendiri baru-baru ini.

Menurut Tya atau atau nama lengkapnya Nurtria Wulandari Arifin, 26, kejayaan itu tidak pernah datang bergolek, sebaliknya terhasil daripada pelbagai pengorbanan dan cabaran dilaluinya.

“Saya bukanlah datang daripada keluarga senang, jadi apa sahaja yang saya lakukan sering diniatkan atas nama keluarga untuk membantu mereka memperbaiki kehidupan.

“Pada awal memulakan perniagaan, saya sendiri bergelut dengan pelbagai cabaran. Ada kalanya percaturan menjadi dan begitulah sebaliknya.

“Alhamdulillah berkat kesabaran, ALLAH permudahkan. Dalam tempoh dua tahun lebih dan pada usia mencecah 26 tahun, saya berjaya memiliki sebuah wisma sendiri.

“Saya anggap ia sebagai pencapaian peribadi yang saya dedikasikan buat suami kerana ia terhasil daripada usaha keras kami bersama,“ katanya kepada SinarPlus ketika ditemui di majlis perasmian Wisma Mutyara di Puchong baru-baru ini.

Bagaimanapun, kejayaan itu bukan bermakna selebriti kelahiran Indonesia itu akan meninggalkan dunia seni yang menjadi minatnya selama ini.

Kata Tya yang memulakan langkah dalam lakonan menerusi filem Gending Sriwijaya pada tahun 2017, kerjaya seninya berjalan seperti biasa, cuma dia kini agak selektif menerima tawaran.

“Biarpun saya sudah berumah tangga dan berhijrah ke Malaysia, tawaran berlakon di Indonesia sentiasa ada.

“Cuma saya sukar menyatakan persetujuan kerana kebanyakannya memerlukan komitmen panjang, terutamanya sinetron yang melibatkan ratusan episod.

“Kali terakhir saya berlakon di sana menerusi filem Preman Pensiun, lebih dua tahun lalu dan selainnya hanya terlibat dengan aktiviti seni di Malaysia sahaja kerana faktor masa,“ ujarnya.

Keluarga tetap nombor satu

Meletakkan keluarga sebagai keutamaan, ibu kepada dua cahaya mata, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, 1, sentiasa bijak menguruskan masa agar tidak  sampai mengabaikan tanggungjawabnya dalam rumah tangga dan dalam masa sama meneruskan minatnya dalam bidang seni dan perniagaan.

Iklan

“Jujurnya suami tidak pernah menghalang saya terus aktif dalam bidang seni, cuma saya sendiri perlu bijak membuat pertimbangan agar apa yang dilakukan itu tidak sampai mengabaikan rumah tangga.

“Biarpun tidak dapat aktif berlakon seperti dulu, saya banyak terlibat dalam undangan program TV dan bidang pengacaraan yang tidak memerlukan komitmen masa panjang,“ jelasnya.

Sudah lima tahun berhijrah ke Malaysia, Tya mengakui seringkali diusik rindu terhadap keluarganya di Indonesia.

Malah dia tidak dapat menyembunyikan kesedihan sehingga menitiskan air mata saat diajak berbicara tentang soal itu.

Iklan

“Meskipun kami sentiasa berhubung menerusi panggilan video dan pelbagai medium komunikasi, ia tetap tidak sama dengan bertentang mata.

“Kali terakhir kami bertemu ketika sama-sama mengerjakan umrah pada Februari lalu dan selepas pandemik Covid-19 melanda dunia, kami tidak lagi jumpa sehingga hari ini.

“Hanya doa yang mampu saya titipkan buat mereka agar baik-baik saja dan sentiasa dalam lindungan ALLAH.

“Insya-ALLAH jika ada rezeki, saya berhasrat menghadiahkan sebuah rumah kepada kedua ibu bapa di Palembang dan itu adalah impian terbesar saya yang sedang diusahakan buat mereka,” akhiri Tya.