PELAKON dan penyanyi Daiyan Trisha kesal apabila dirinya menjadi mangsa fitnah seorang individu yang memuat-naik satu tweet di laman Twitter berhubung penglibatannya sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menerusi tweet tersebut, individu terbabit mendakwa golongan artis yang menjadi sukarelawan lebih banyak bersosial, bergambar dan balik selepas 15 minit bertugas.

Kecewa dengan dakwaan tersebut, apatah lagi namanya turut disebut sebagai salah seorang yang dimaksudnya, Daiyan, 28, tampil menjelaskan keadaan, sekali gus menegur individu terbabit yang juga merupakan salah seorang daripada sukarelawan dari PPV sama.

“Baru-baru ini saya dituduh oleh seorang individu di Twitter. Tweet ini telah diretweet sebanyak lebih 4,000 kali sebelum ia dipadam.

“Ia telah melahirkan banyak tuduhan dan fitnah terhadap saya dan kerja sukarelawan saya di PPV. Sukarelawan itu ialah orang yang melakukan sesuatu secara sukarela dan tidak dipaksa. Direlakan terutamanya dalam memberikan sesuatu khidmat.

“Bila saya dituduh dan difitnah seperti ini, tak tahulah nak rasa apa. Bukan saya saja, malah sebilangan rakan artis yang lain juga,” ujarnya menerusi laman Instagramnya pada Isnin.

Menurut Daiyan, dia bertugas di PPV tersebut pada setiap Sabtu, selama lima sehingga 10 jam sehari, sejak tiga minggu lalu.

Menafikan tuduhan tersebut, pengacara Muzik Muzik mengharapkan agar orang ramai tidak terus percaya fitnah disebarkan, sebaliknya lebih fokus kepada pengorbanan dilakukan petugas barisan hadapan.

“Saya sudah bekerja sukarela selama beberapa hari, semua dalam 5-10 jam sehari. Saya tak pernah merungut, mahupun melakukan apa yang telah diperkatakan seperti membawa rakan-rakan, cameramen dan sebagainya.

“Hari pertama, saya datang seorang diri. Hari kedua dan ketiga, saya bawa PA (personal assistant) atas tujuan keselamatan. Dia juga turut sama sukarelawan.

“Tolonglah fokus kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan lain yang bekerja penat lelah hari-hari. Tolong hargai mereka.

“Beri mereka perhatian, bukan saya. Apalah sangat sumbangan kecil saya ini,” katanya yang mengakui tugasnya sebagai sukarelawan hanya ingin membantu melancarkan proses pemberian vaksin.

Status yang dimuat naik individu terbabit di laman Twitter sehingga mencetuskan fitnah terhadap Daiyan.

Tambah Daiyan, meski perkara tersebut tampak remeh pada sesetengah pihak, namun dia perlu tampil menjelaskan keadaan apabila nama dan imejnya tercalar disebabkan fitnah tersebut.

“Walaupun isu ini nampak remeh, saya harus jelaskan kerana ramai bertanya dan ia memperlekehkan niat dan integriti kerja sukarelawan saya.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak Qualitas kerana telah membantu saya mengesan individu yang bersalah ini. Dia juga merupakan salah seorang sukarelawan di PPV yang sama.

Iklan

“Sepatutnya dia tahu yang saya sukarelawan seharian dan dia juga ada bergambar bersama saya. Tapi masih menyebar fitnah terhadap saya dengan menjawab ‘yes’ melalui Twitter apabila ditanya adakah Daiyan ini antara artis yang datang hanya untuk sesi bergambar, bersosial dan balik selepas l5 minit bertugas.

“Sejurus itu, semua yang baca beranggapan Tweet itu ditujukan untuk saya. Ini salah dan tidak adil,” tegasnya.

Bagaimanapun bintang Anchor SPM itu sudahpun memaafkan individu terbabit selepas dia memohon maaf dan memadam tweet berkenaan.

“Walaupun anda sudah menimbulkan fitnah terhadap saya, terima kasih juga kepada individu berkenaan kerana meminta maaf dan memadam tweet tersebut.

Iklan

“Saya harap awak belajar daripada kesilapan ini. Saya tak nak panjangkan benda ini, cuma tujuan hantaran ini adalah untuk jelaskan keadaan kerana ia sudah tersebar dan merosakkan sedikit sebanyak imej saya.

“Malah, ada lagi individu lain yang menyebar fitnah ini hanya kerana percaya tweet tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Daiyan turut menitipkan pesan agar orang ramai tidak mudah percaya dengan sesuatu cerita tanpa bukti yang sahih.

“Kepada yang lain-lain, janganlah terlampau cepat percaya sesuatu itu tanpa bukti yang sahih.

“Janganlah kalian taksub dengan benda-benda yang menyebarkan benci seperti ini. Fikir lah dahulu. Kalau anda masih taknak percaya saya, terpulang. Tuhan tahu,” katanya.