PENYANYI Hael Husaini keluar dari zon selesa dengan menyajikan single terbaharunya berjudul Kelentang-Kelentong hasil kolaboratif serasi bersama komposer popular, Ezra Kong.

Lebih istimewa lagi, lagu yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd itu dilancarkan sempena peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah memasuki fasa keempat di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

“Alhamdulillah, syukur dan syabas buat kita rakyat Malaysia kerana berjaya menangani masalah pandemik Covid-19 sebaik mungkin.

“Walaupun perjalanan kita masih jauh, namun saya positif dengan situasi norma baharu tatkala fasa endemik bakal menyusul kelak.

“Sejajar dengan itu, saya mengambil kesempatan untuk menghasilkan sebuah single bagi meraikan peralihan itu dengan lagu yang menggambarkan perasaan rakyat Malaysia secara amnya.

“Sebenarnya ilham lagu ini tercetus secara tak sengaja selepas saya muncul dalam sebuah program hiburan di Indonesia pada tahun lepas.

“Ketika itu, saya diminta untuk menyanyikan secara spontan berkenaan kuali. Jadi Kelentang-Kelentong itu adalah signifikasi terhadap bunyi ketukan kuali.

“Sekembalinya ke Malaysia, saya terus menghubungi Ezra dan kami terus berbincang. Saya menyimpan lagu ini terlebih dulu kerana masanya belum sesuai untuk diterbitkan sehinggalah kini,” kata duta Teh Hijau jenama BOH, Nivea dan juga ais krim Magnum itu.

Bukan tin kosong

Kelentang-Kelentong dalam masyarakat Malaysia banyak signifikasinya, ia bukanlah sekadar tin kosong yang berbunyi atau keadaan riuh-rendah semata-mata secara lazimnya.

Iklan
Hael menjalani penggambaran muzik video Klentang-Klentong di Pulau Langkawi selepas gelembung pelancongan dimulakan.

Namun Hael mempunyai interpretasi sendiri, katanya : “Jalan cerita lagu ini telah diubah lebih sesuai dengan situasi terkini di negara kita yang telah membenarkan gelembung pelancongan terhadap beberapa destinasi dalam negeri dan juga kebenaran merentas negeri.

“Ia sebuah lagu yang mengajak kita untuk pergi berjalan atau melancong ke mana sahaja yang dibenarkan oleh kerajaan dan ajaklah kaum keluarga mahupun rakan, bertemulah dengan insan-insan tersayang yang kita rindui.

Iklan

“Kelentang-Kelentong memberi gambaran keriuhan suasana tatkala berjumpa dan perasaan keterujaan dek kerana menahan rindu yang terlalu lama,” jelasnya.Lagu rancak ala santai genre pop itu diberikan kelainan yang istimewa dengan suntikan irama lagu-lagu rakyat yang sering kita dengar sewaktu kecil dan mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Tambah juara dua kali berturut-turut Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 dan 33 itu, lagu itu juga menjadi gandingan comeback antara Hael dan Ezra selepas kali terakhir bekerjasama menerusi lagu Hati.

Lagu Kelentang-Kelentong boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengar melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music, Joox, KKBox dan Deezer, manakala MV single itu pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network.