MEMARTABATKAN golongan wanita dalam sesebuah naskhah seni. Itu mesej utama yang hendak diperincikan dalam filem terbaharu arahan Pali Yahya berjudul Renjana.

Filem yang membawa penonton ke zaman 1900-an itu mengisahkan golongan wanita yang sering berhadapan dengan kesukaran dan cabaran dalam susur kehidupan mereka.

Membawa kelainan ke layar perak, Renjana membawa kisah guru wanita pertama di Tanah Melayu bernama Che Aminah dalam perjuangannya membela anak bangsa.

Menurut penerbit Mache All Star United Sdn. Bhd., Norley Aimi Nadiah Shaari, setiap paparan yang dihidangkan dalam filem tersebut merupakan sebuah jalan cerita yang sangat unik dan menarik untuk para penonton.

NORLEY
Penerbit Mache All Star United Sdn. Bhd., Norley Aimi Nadiah Shaari.

“Kami memberanikan diri menerbitkan naskhah klasik sebegini kerana mahu lari daripada kebiasaan atau cerita klise lain. Kami juga percaya cerita seperti ini mempunyai kelompok peminatnya sendiri.

“Kisah yang berlaku kepada golongan wanita pada zaman tersebut tidak diketahui ramai kerana kurang inisiatif untuk meengolahkannya menjadi sebuah karya seni. Selepas melakukan kajian dan pemerhatian, kami mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah filem,” katanya.

Tuturnya, masyarakat sering didedahkan dengan kisah-kisah pejuang tanah air lain tetapi tidak ramai mengetahui tentang kehidupan Che Aminah yang merupakan guru wanita pertama di Tanah Melayu.

“Tidak ramai yang mengetahui kisah seorang wanita yang menjadi guru pertama di Tanah Melayu.

“Tanpa sedar, dia sebenarnya lambang perjuangan wanita yang luhur dalam membela anak bangsa kita sejak dahulu,” ujarnya.

Gandingan pelakon hebat

Renjana mengangkat kisah seorang wanita bernama Che Aminah dari Pulau Pinang yang dipandang ‘sial’ oleh penduduk kampung.

Berkahwin dengan Ramlee, dia dicurangi dan sebaik sahaja bercerai. Bertemu dengan Johan, Che Aminah mula mendapat semangat baharu.

Dia kemudian belajar membaca dan menjadi guru wanita pertama di sebuah sekolah di Seberang Perak pada tahun 1900-an.

Antara pelakon yang terlibat dalam naskhah ini terdiri daripada Nabila Huda, Saharul Ridzuan, Fauzi Nawawi, Aida Aris dan Hasnul Rahmat.

FILEM RENJANA
Antara pelakon hebat yang membintangi filem Renjana.

Selain beberapa nama besar tersebut, naskhah ini turut dibintangi oleh Kodi Rasheed, Nadia Aqeelah, Zamarul Hisham, Mak Wan Latah, Sefik Khair dan pelakon kanak-kanak Dura Mitilda.

Tambah Norley, Renjana diambil inspirasi daripada kisah guru pertama itu namun ditambah dengan beberapa plot lain oleh penulis skrip Adza Emi Adenan untuk menghidupkan jalan cerita.

Iklan

“Tidak dinafikan memang banyak cabaran yang dihadapi untuk menyiapkan naskhah ini terutama untuk mewujudkan kembali latar masa era 1900-an.

“Kita perlu membataskan pergerakan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan ketika itu namun kita mampu menyiapkan meskipun melalui beberapa kekangan.

“Kita berterima kasih kepada semua pelakon yang terlibat kerana mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sehingga Renjana disiapkan,” jelasnya.

Penggambaran di jalan di beberapa lokasi sekitar Air Keroh, Melaka; Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur dan Taman Botani Shah Alam.

Iklan

Selain membina prop serta busana dibuat khas dan menggunakan lokasi sedia ada, beberapa perincian lain turut diambil kira bagi memastikan keseluruhan ‘wajah’ Renjana berlatar belakangkan 1900-an.

NABILA DAN SAHARUL
Nabila dan Saharul menjadi pendukung utama filem Renjana.

Menurut Norley lagi, meskipun mereka menghabiskan sejumlah besar bajet untuk prop, ia memberikan kepuasan tidak terhingga kepada semua apabila Renjana ditayangkan.

Renjana sudah ditayangkan menerusi saluran Astro First sejak 17 Mac lalu dan Norley berharap naskhah itu akan mendapat sambutan positif daripada penonton.

“Kita berharap penonton akan menyambut baik naskhah ini memandangkan ia muncul berbeza berbandingan dengan naskhah lain yang sedia ada.

“Kami berbesar hati sekiranya penonton dapat melanggan dan memberikkan maklum balas kepada Renjana. Ini yang kami harapkan,” ujarnya menutup perbualan.