BIARPUN tidak pernah mendedahkan kisah peribadinya secara terbuka, namun hubungan cinta penyanyi hip hop dan komposer, SonaOne bukan rahsia.

Bahkan SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach pernah membuat pengakuan untuk mengakhiri zaman bujang.

Bagaimanapun cerita itu lama kelamaan berlalu begitu sahaja sehinggalah pada majlis pelancaran single terbaharunya, SonaOne mengakui hubungan itu sudah berakhir.

“Saya mahu move on. Saya anggap tak ada jodoh. Tak semua yang kita dambakan akan berakhir seperti sebuah kisah dongeng,” katanya.

Mengharungi sendiri jatuh bangun dalam kehidupan selain mengamati pengalaman sama orang lain menjentik rasa dan emosi tersendiri buat jejaka berusia 32 tahun itu.

Maka terhasillah buah tangan terbaharu berjudul Sape Kata bersama Wolfy.

SonaOne tampil dengan single terbaharu, Sape Kata.

Ditanya mengenai idea penghasilan karya berkenaan atau lebih tepat mengenai pengalaman kisah cinta sendiri, SonaOne yang mula melangkah ke arena seni pada 2010 dilihat memberi jawapan selamat.

“Jawapan kepada soalan apakah ia cetusan ilham kisah cinta sendiri, boleh jadi ya atau sebaliknya. Ia terpulang kepada apa juga interpretasi atau tafsiran masing masing. Namun ia jelas bersifat peribadi.

“Tidak dinafikan ada input dan ilham itu datang daripada pengalaman sendiri. Namun saya melihat lagu ini daripada cerita umum atau adat berkasih sayang yang akan berlaku salah faham dan jiwa kacau.

Iklan

“Ia juga berdasarkan pengamatan saya mengenai pelbagai cerita dialami ketika Covid-19 menjelma. Ramai teman saya sendiri putus cinta daripada hubungan yang panjang kerana kekurangan sisi komunikasi,” katanya yang kali terakhir muncul dengan single solo Bomba tahun lalu.

Lagu gabungan pop R&B dan hip hop itu telah dilancarkan di semua platform digital pada 12 November lalu.

Pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) menerusi lagu Apa Khabar dendangannya bersama Joe Flizzow itu menambah, Sape Kata turut menyingkap penilaian diri yang menjurus kepada konsep konflik diri dan keraguan terhadap emosi.

Iklan

“Lagu ini banyak bermain dengan perasaan dalaman ditambah dengan emosi bercelaru. Malah memang sengaja perkataan siapa dieja seperti bahasa pasar sebagai ‘sape’.

Sape Kata mewakili satu rasa yang tidak selesa apabila dibelenggu hal yang meresahkan dalam kotak minda pasangan kekasih. Malah pada masa sama berperang dalam hati mempersoalkan itu ini yang pada akhirnya tidak memberi jawapan pasti.

“Pendek kata lagu ini barangkali dekat dengan sesiapa saja yang pernah melalui plot hubungan penuh dramatik,” jelasnya menutup bicara.