Istana Budaya buka pentas Oktober depan

ISTANA BUDAYA
ISTANA BUDAYA
A
A
A

ISTANA Budaya (IB) menyambut baik pengumuman kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif yang bermula 9 September ini.

Kelonggaran SOP yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, pada Selasa itu turut melibatkan program persembahan teater, muzikal, tari dan komedi secara langsung (pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap dua dos vaksin serta kapasiti 30 peratus ruang premis.

IB dalam satu kenyataan menegaskan amat menitikberatkan keutamaan untuk memastikan kesemua warga Istana Budaya yang terlibat seperti pengurusan produksi, kru pentas, teknikal, penyambut tetamu dan lain-lain telah mencapai kelompok berstatus vaksin lengkap bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Bagaimanapun buat masa ini, sebahagian kakitangan IB masih bertugas sebagai Sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) akan kembali bertugas di IB selepas kadar pemberian vaksin negara mencapai sasaran.

Sehingga hujung tahun ini, IB bakal mengisi ruang persembahan dengan program-program terbitan sendiri secara langsung dan dijangka akan bermula pada Oktober depan berikutan kebanyakan program dirancang sebelum ini terpaksa ditunda atau dibatalkan.

IB sebelum ini merancang dan membuat persediaan mementaskan tujuh program muzik sama ada secara rakaman atau langsung tidak lama lagi.

Antaranya ialah Konsert Rentak Kita, Konsert Patriotik Tanah Airku, Konsert NSO bersama Bintang, Gamelan Gema Gangsa dan Wayang yang berkisar warisan tradisional wayang kulit.

Sementara itu, sempena program Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 yang bermula 16 Ogos lalu, IB akan meneruskan program Semarak Merdeka Istana Budaya yang dijadualkan sehingga 16 September secara dalam talian.

Malah pada penghujung sambutan dan bersempena Hari Malaysia 2021, tayangan khas persembahan COM – Semarak Merdeka Istana Budaya 2021 Orkestra Tradisional Malaysia akan disiarkan mengikut segmen bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam di laman media sosial IB.

Ketua Pengarah IB, Zaiton Md Desa berkata, pihaknya berharap video-video yang dihasilkan itu dapat menjadi rujukan kepada orang ramai.

“Saya berharap video-video dihasilkan dapat memberi maklumat dan pendedahan yang boleh dijadikan rujukan buat orang ramai serta menarik minat masyarakat untuk terus mengikuti program-program IB secara dalam talian,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca