BALU Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali mengakui berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini berkenaan tuntutan faraid yang difailkan pada 15 Julai lalu.

“Alhamdulillah, selesai urusan faraid. Pihak sana pun akan dapat bahagian sebagaimana mana yang ditetapkan dalam agama.

“Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan mohon doakan yang terbaik buat saya dan keluarga,” ujarnya kepada pihak media.

Kata Hidayah, 28  pembahagian tersebut melibatkan harta peninggalan Allahyarham suaminya seperti rumah, kereta, wang, telefon bimbit, kamera dan lain-lain.

Ditanya adakah dia akan berpindah ke rumah tersebut dan kembali memiliki kereta milik Allahyarham, ibu tunggal kepada seorang anak lelaki itu belum membuat apa-apa keputusan.

“Kita tunggu sahaja urusan faraid ini selesai di mahkamah,” ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, Hidayah tidak mahu memberikan komen lanjut berkenaan dakwaan  kereta arwah suaminya yang dikatakan telah ditarik sebelum ini.

“Saya tak boleh nak komen lanjut, apa-apa nanti akan tahu juga,” katanya.

Iklan

Mengulas tentang wang RM10,000 yang dikatakan telah dikeluarkan  daripada akaun arwah sebelum ini, kata Hidayah, ia adalah untuk anaknya, Syed Uthman Hamzah AlJuffrey yang kini berusia setahun, tiga bulan.

“Memang saya ada keluarkan RM10,000 itu dan masukkan dalam akaun anak saya. Tak guna satu sen pun,” katanya.

Sementara itu, berikutan kegagalan pihak ibu mentuanya, Sabariah Arshad hadir ke mahkamah hari ini, mahkamah menetapkan tarikh baharu pada Oktober depan berhubung tuntuhan hadanah.

Iklan

“Saya harap selepas ini pihak sana akan hadir untuk kes hadanah,” katanya ringkas.

Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata. Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu, selepas dua hari mengalami demam.