MESKI bintang baharu yang muncul silih berganti, nama pelakon Aqasha masih lagi menjadi pilihan sebagai salah seorang hero kegemaran ramai dalam drama.

Malah Aqasha atau nama lengkapnya Firdee Akassya Rosli, sering digandingkan dengan heroin-heroin baharu, sekali gus memberi lebih warna dalam lakonannya di kaca TV.

Mengulas perkara itu, Aqasha, 39, berkata, peluang tersebut mungkin datang disebabkan kepelbagaian naskhah masa kini yang lebih terbuka dalam penulisan cerita ditampilkan.

“Alhamdulillah itu rezeki saya. Mungkin dari sudut penulisan sesebuah naskhah kini, range umur untuk seseorang pelakon itu lebih meluas berbanding dulu.

“Dulu penulisan drama kebanyakannya menampilkan kisah hubungan cinta budak-budak muda. Jadi hero-heroin semua pelakon muda.

“Bagaimanapun ia berbeza sekarang kerana gaya tersebut sudah berubah. Penulisan lebih pelbagai dan melibatkan kisah cinta dan nilai-nilai kekeluargaan dalam masyarakat,” katanya yang merupakan bapa kepada dua anak.

Terbaru, Aqasha tampil menerusi drama romantik komedi, Cik Ayu Mee Sanggul yang menyaksikan gandingannya bersama pelakon cantik, Amelia Henderson. Drama 16 episod terbitan Suhan Movies itu bersiaran pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria.

Berkongsi pengalamannya menjayakan watak sebagai Akhtar dan bergandingan dengan Amelia, Aqasha mengakui tidak berdepan sebarang masalah meski ia merupakan kerjasama pertama mereka.

“Dalam drama ini saya memegang watak sebagai Akhtar, seorang duda yang sangat skeptikal kepada golongan janda disebabkan kisah silam sehingga ia mempengaruhi kehidupannya kini.

“Saya seronok memainkan watak itu, apatah lagi dengan gandingan bersama Amelia yang sama-sama cuba memenuhi tuntutan watak dengan sebaiknya.

“Walaupun Amelia pelakon muda, tetapi pengalamannya dalam lakonan memudahkan kami mengenali ruang dan energi masing-masing sepanjang menjayakan drama ini,” katanya yang ditemui di sidang media secara maya drama berkenaan baru-baru ini.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Aqasha mengakui dugaan mengharungi pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun banyak memberi pengalaman baharu buat dirinya.

“Sebelum ini selain aktif dalam lakonan, saya juga terlibat dengan pelbagai aktiviti lain yang dilakukan untuk kelangsungan hidup seperti muzik dan dan sebagainya.

“Apabila pandemik berlaku dan kita pula kena duduk rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masa terluang sangat banyak sekali gus membuka ruang saya teroka banyak benda secara maya sehingga menemui pelbagai hobi baharu.

“Kalau dulu nak servis gitar kena hantar kedai, sekarang saya boleh buat semua itu sendiri dengan kemahiran yang dipelajari menerusi tutorial di YouTube,” ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Aqasha yang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak dua dekad lalu itu, mengharapkan agar industri kreatif dapat kembali beroperasi seperti biasa.

“Saya mengharapkan agar sektor kreatif dapat dibuka semula agar semua orang dapat kembali bekerja dan menjana pendapatan demi kelangsungan hidup masing-masing.

“Rata-ratanya sudah sedia maklum dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan insyal-ALLAH tiada masalah tentang itu,” katanya.