BAHARU saja ditayangkan sejak 20 Disember lalu, drama terbitan Kembara Sufi Sdn Bhd, Saat Kau Takluk Cinta Ini yang mengisi slot Samarinda TV3 mendapat respons yang cukup positif daripada penonton.

Penerbitnya, Jaja Ishak meluahkan rasa syukur apabila drama 15 episod yang diadaptasi daripada novel berjudul sama itu diterima baik oleh penonton tanpa terpalit dengan kontroversi.

Paling mengujakan apabila drama berkenaan juga trending nombor satu menerusi aplikasi iQiyi Malaysia.

“Alhamdulilah, sambutan yang diterima cukup baik dan saya gembira dengan sambutan peminat. Dalam pada negara berhadapan dengan musibah banjir, masih ada lagi yang memberikan sokongan kepada drama Saat Kau Takluk Cinta Ini.

“Banyak cabaran yang kita hadapi untuk menyiapkan drama ini. Tetapi saya bersyukur kerana dapat menyiapkan naskhah ini seperti mana yang dijadualkan. Melihatkan sambutan hangat daripada peminat, itu menambahkan lagi semangat kami,” ujarnya.

Ditanya mengenai gimik kandungan viral yang digunakan sesetengah produksi untuk menaikkan rating sesebuah drama, Jaja berkata, dia mengelak untuk berbuat demikian dan mengutamakan kualiti dalam penerbitan.

“Tidak guna kalau sesebuah karya itu gempak dari sudut gimik, tetapi hasilnya tidak memuaskan. Lebih baik kita utamakan kualiti drama itu.

“Saya percaya pada aturan yang ditetapkan ALLAH SWT dan hanya go with the flow.

“Kadangkala, walaupun drama itu tidak viral di media sosial, penerimaan penonton terhadap drama itu tetap baik dan ratingnya tetap tinggi.

Iklan

“Secara tidak langsung, stesen TV akan terus beri kepercayaan kepada kita,” jelasnya.

Drama arahan Zamri Zakaria itu menampilkan gandingan Idris Khan dan Intan Najuwa serta diperhebatkan lagi dengan lakonan mantap oleh Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Wafariena Roslan, Wan Maimunah, Zarynn Min, Edika Yusof, Jasmin Hamid, Raja Azmi, Raja Baizura bersama Aleza Shadan.

Saat Kau Takluk Cinta Ini mengisahkan Haira Melissa telah dibuang keluarganya apabila dituduh merampas tunang kepada adik tirinya. Dia membawa diri ke sebuah kampung dan ketika berteduh di sebuah pondok, Haira telah bertemu dengan Rahhal.

Iklan

Rahhal seorang pemuda kampung yang berpelajaran tinggi berkelulusan luar negara, namun terpaksa mengorbankan cita-citanya apabila ibunya, mengalami strok.

Haira tersentuh dengan keikhlasan Rahhal yang sering mengambil berat tentangnya. Apabila Rahhal melamarnya, Haira menerima tetapi dia sebenarnya mempunyai sebuah rahsia yang disimpan rapi. Adakah ia akan mengancam mahligai cinta yang dibina oleh Rahhal dan Haira?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Saat Kau Takluk Cinta Ini setiap hari Isnin hingga Khamis, menerusi slot Samarinda di TV3 dan perkhidmatan penstriman iQiyi.