SEJAK kebelakangan ini, genre muzik hip hop kembali menjadi kegemaran ramai dan dianggap sebagai satu genre muzik yang mampu menjadi‘penyelamat’.

Ia juga mampu menaikkan semangat dan mengajar seseorang melawan rintangan, yang secara tidak langsung memberi idea kepada DJ Cza, Tuju, Loca B dan MK K-Clique untuk bergabung dalam karya Veto keluaran Def Jam Recordings Malaysia.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan masih berterusan, Veto adalah satu peringatan bahawa harapan masih ada.

Menurut Tuju, lagu ini juga diinspirasikan daripada perjalanan kisah hidup mereka yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan sebelum berada pada tahap yang mereka kecapi sekarang.

“Satu perkara yang membezakan perjuangan kami adalah semangat kental yang menghalang kami daripada berputus asa.

“Jika kita fokus untuk mencapai tujuan dan matlamat, sesukar mana pun cabarannya, kita akan berjaya,” katanya.

Veto menggabungkan (dari kiri) MK dan Tuju daripada kumpulan K-Clique, DJ Cza dan Loca B (duduk depan).

Bersetuju dengan pendapat Tuju, DJ Cza berpendapat Veto adalah lagu berunsur motivasi, dan rimanya membangkitkan semangat.

“Ia seolah-olah mencipta sesuatu daripada kosong dengan cara berfikiran positif dan tidak menoleh ke belakang.

“Semangat kental ini ketara dalam lirik lagu ini sehinggalah irama muziknya. Lagu ini diilhamkan daripada lagu Dior oleh bekas bintang hip hop, Pop Smoke.

Iklan

“Sebab itu anda akan mendengar gaya dan lenggok daripada ‘Brooklyn drill’ dalam Veto. Sulaman bass dan perkusi yang digabungkan dengan baik digarap dengan perisa Asia Tenggara, menjadikannya satu karya penuh jiwa dengan bunyi yang luar biasa,” jelasnya.

Wakil-wakil K-Clique, MK dan Tuju memberikan persembahan terbaik dengan sedikit sentuhan nada gospel, sementara Loca B menyelitkan secebis keindahan dalam kuasa persembahannya.

Iklan

Veto juga diiringi video muzik arahan Shahrin Bahar, yang pernah menghasilkan visual hebat lagu CIAO oleh Joe Flizzow. Dengan tetapan LED 360 darjah, video ini berjaya menzahirkan impak lagu ini ke dalam bentuk visual. Seperti kehebatan audionya, seni visualnya juga canggih dan luar biasa. Ia pasti mampu menarik perhatian dunia.

Veto kini boleh didapati di semua platform pengstriman muzik seperti Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music.