TIDAK mahu terus bergantung kepada wang simpanannya untuk meneruskan kelangsungan hidup saat pandemik Covid-19 masih menghimpit, penyanyi dangdut popular, Amelina tekad mencari jalan keluar dengan berniaga.

Mengetepikan rasa malu dan status populariti yang dimiliki, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin memberanikan diri untuk menjual Nasi Minyak dan Nasi Ayam hasil air tangannya sendiri.

Menurut Amelina, perniagaan itu dimulakan pada 29 Jun lalu secara kecil-kecilan atas sokongan para peminat menerusi laman media sosial miliknya.

“Saya sebenarnya bukan pandai memasak sangat, untuk makan sendiri dengan anak-anak bolehlah.

“Bagaimanapun bila peminat-peminat yang rapat dengan saya bagi semangat dan yakinkan untuk jual hasil masakan saya iaitu Nasi Minyak dan Nasik Ayam, saya akhirnya berani mencuba.

“Pada mulanya saya hanya masak 15 bekas sahaja untuk memenuhi permintaan peminat, tetapi tak sangka pula mereka giat promosi mulut ke mulut sehingga ramai pula orang menempah,” ujarnya kepada SinarPlus.

Mengakui kini tidak menang tangan menerima tempahan, ibu tunggal kepada enam anak itu meluahkan rasa syukur apabila ada kerja yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan pada saat sukar ini.

“Saya tak sangka ia mendapat sambutan yang luar biasa meskipun saya baru berniaga pada hujung Jun lalu. Penat sedikit, tetapi berbaloi.

“Daripada hanya 15 bekas, saya kini menerima tempahan sehingga 60 bekas sehari. Insya-ALLAH saya kini sedang mencabar diri untuk menyiapkan 100 bekas pula selepas ini.

“Jujurnya saya tidak pernah memasak dalam kuantiti yang banyak sebelum ini, tapi disebabkan kesungguhan, inilah hasilnya. Saya sentiasa memperbaiki kualiti makanan dan masak dengan penuh kasih sayang, ikhlas untuk pembeli,” akuinya.

Sebarkan aura positif

Dalam pada itu, Amelina berkata, ketika awal pandemik bermula, dia tidak terlalu memikirkan tentang kesan jangka masa panjang kerana merasakan situasi tersebut hanya berlaku untuk tempoh beberapa bulan sahaja.

Namun apabila sebaliknya berlaku, dia mula rasa tertekan dan dihambat kerisauan memikirkan bagaimana mahu meneruskan hidup sekiranya kerjaya dalam bidang nyanyian tidak dapat diteruskan.

“Saya memang seorang suka menyimpan wang dan tidak boros berbelanja. Jadi adalah sedikit simpanan yang boleh digunakan pada awal pandemik melanda dan saya fikir cukup untuk menampung kehidupan kami anak-beranak sebelum dapat bekerja kembali seperti biasa.

“Bagaimanapun saya tidak sangka pandemik berlarutan sehingga hampir dua tahun dan sehingga hari ini saya masih tidak dapat keluar bekerja langsung kerana segala aktiviti seni dihentikan.

Iklan

“Kerisauan semakin menjadi-jadi apabila banyak tawaran persembahan awal yang diterima dibatalkan, sampaikan saya menangis fikirkan apa yang bakal berlaku pada kami selepas ini jika keadaan berterusan,” katanya yang mengakui pernah patah semangat disebabkan perkara itu.

Amelina tidak malu jual Nasi Minyak dan Nasi Ayam untuk mencari pendapatan tambahan.

Tambah penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Dangdut itu lagi, dia kemudiannya cuba memikirkan jalan keluar dengan berusaha sendiri mencari pendapatan tambahan berbanding mengharapkan bantuan pihak tertentu.

“Pada masa sekarang, semua orang hidup susah dan bergelut dengan pandemik. Sekali dua orang bolehlah bantu, tetapi selebihnya kita sendiri kena berusaha untuk teruskan hidup. Percaya rezeki Allah itu luas.

“Bila saya mula berfikir begitu, saya bangkit untuk berusaha sendiri. Saya tolak tepi rasa malu dan buat tak kisah dengan cakap-cakap netizen yang mungkin ketawakan saya jual Nasik Minyak dan Nasi Ayam kerana tidak ada tawaran menyanyi.

“Ya memang sebelum ini bayaran persembahan saya untuk sebulan boleh tampung kehidupan untuk lima hingga enam bulan berikutnya, tetapi itu dulu sebelum pandemik dan sekarang berbeza. Jadi saya kena realistik,” katanya yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya.

Iklan

Penyanyi yang popular dengan lagu Asyik itu juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan vibe negatif di media sosial di saat semua orang perlukan semangat positif dalam mendepani pandemik yang belum menunjukkan tanda reda itu.

“Pada masa sekarang adalah lebih kita saling menyokong dan memberikan kata-kata positif antara satu sama lain.

“Jangan seronok mentertawakan nasib orang lain kerana ujian ini Allah datangkan kepada semua. Sebaiknya kita muhasabah diri dan cuba sebarkan kebaikan untuk orang keliling.

“Untuk diri sendiri, mana yang kita boleh usaha, kita buatlah. Mana yang langsung tak ada punca, kita bantu dengan sebaiknya,” katanya.