LEBIH 30 jam koma semenjak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), penyanyi Siti Sarah Raissuddin kini ditiarapkan agar paru-paru dapat kembali normal dan membekalkan oksigen dalam badan.

Perkembangan tersebut dikongsi suaminya, pelawak Shuib Sepahtu, setelah dimaklumkan doktor yang merawat Sarah.

“Sarah ditiarapkan dengan harapan oksigen dan paru-paru boleh bekerjasama. Memandangkan Sarah kena jangkitan Covid-19, paru-paru dia banyak terkesan.

“Jantung pun sudah lemah. Mungkin sepanjang pembedahan mengeluarkan bayi semalam, jantung sudah banyak bekerja.

“Difahamkan juga, ada sedikit darah beku di paru-paru. Doktor kata, buat masa sekarang tak boleh apa-apa lagi sebab semalam baru lepas menjalani pembedahan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan.

Bapa kepada tiga empat anak itu juga meluahkan rasa terharunya apabila tidak putus-putus mendapat kiriman mesej dan foto beberapa pihak termasuk anak-anak tahfiz yang membacakan Yasin dan doa selamat buat Sarah.

Kata Shuib, ia merupakan satu rahmat besar untuk dirinya dan keluarga apabila orang ramai bukan sahaja menitipkan doa, tetap turut mengadakan majlis doa selamat dan bacaan Yasin secara persendirian.

“Saya balikkan semua doa kepada mereka juga. Kepada yang sedang menderita Covid-19, semoga terus tabah. Ini masa kita sama-sama doakan orang lain,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Shuib juga meluahkan kerinduan dan memberikan kata-kata semangat buat isterinya yang kini sedang berjuang melawan Covid-19.

“Sayang saya tahu awak dah buat yang terbaik. Awak dan berjuang sampai anak kita dah selamatpun dilahirkan. Ayash Affan dah buka mata, kaki dah tendang-tendang, tangan dah gerak.

“Syukur alhamdulillah. Sekarang awak penat dan sedang tidur. Tapi jangan tidur lama-lama ya sayang.

Iklan

“Saya, anak-anak dan keluarga semua rindukan awak. Semua menunggu awak di rumah sayang.

“Jangan tidur lama sangat. Kuatkan semangat dan buka mata OK. Love you sayang. Mohon semua terus mendoakan Sarah,” luah Shuib di laman Instagramnya.