MAHU terus mendekati penonton dengan pelbagai pengisian menarik, TV9 tampil dengan konsep lebih segar dan santai.

Menerusi kempen #JanjiHappy, stesen stesen televisyen (TV) milik Media Prima Berhad (MPB) itu dalam usaha menjadi destinasi hiburan keluarga pilihan penonton.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9, Sherina Nordin, pihaknya berharap penonton menemui kepuasan, keriangan dan menikmati sajian program lebih santai di TV9.

“Selari dengan pembaharuan program TV9 yang lebih rileks dan santai, kami berkolaboratif bersama Datuk Rosyam Nor, Alif Satar, Amyra Rosli, Naim Daniel dan Zharif Zhafri selaku rakan-rakan TV9. Ia mewakili dua komponen utama TV9 iaitu keluarga dan kepentingan masyarakat.

“Trend masyarakat menonton TV sudah berubah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

“Jadi inilah waktu sesuai TV9 memperkenalkan pembaharuan di slot waktu dan kandungan program supaya terus kekal relevan,” katanya ketika sidang media maya TV9 #JanjiHappy baru-baru ini.

Iklan

Pembaharuan lain yang turut diperkenalkan adalah perubahan waktu perdana TV9 yang bermula pada jam 6 petang menerusi seleksi program animasi terbaik dari dalam dan luar negara.

Malah slot berita waktu perdana di TV9 kini dikenali sebagai Buletin TV9 akan bersiaran pada jam 7 malam, setiap hari.

Iklan

Dalam masa sama, TV9 turut memperkenalkan program bual bicara baharu, Sembang Viral yang akan membincangkan pelbagai isu dikongsi netizen dalam media sosial secara santai bersama panel jemputan.

Diikuti drama-drama menarik seperti Budak Intern, The Venom’s Tale (Thailand), Flower of Evil (Korea) serta slot Kuasa 3 Malam yang menampilkan tiga filem popular tempatan dan Bollywood.