SETELAH melalui pelbagai dugaan sepanjang tahun ini, pelakon dan pengacara, Janna Nick menarik nafas lega apabila usahanya berbalas kejayaan tidak disangka menerusi kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-34 yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Menyifatkan ia sebagai hikmah yang tersembunyi di sebalik dugaan demi dugaan dilaluinya, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 26, mahu kembali membina semangat dan terus melangkah ke depan mengejar impian.

“Saya rasa tahun ini adalah tahun paling suram buat saya apabila berdepan dengan pelbagai ujian. Namun saya tidak menyangka kesuraman itu berakhir dengan kegembiraan sebegini apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

“Sebelum ini saya hampir berputus asa dengan apa yang dilalui. Kini terbukti pada setiap kepayahan dan kekecewaan, pasti ada sinar menanti,” katanya yang turut dinobatkan sebagai Pengacara Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.

Berikutan kejayaan itu juga, Janna mahu kembali merencana kerjaya seni dengan lebih baik. Malah pelakon Marry Me Senorita itu memasang tekad untuk berubah ke arah lebih positif.

“Saya tidak nafikan, agak terbeban dengan segala kontroversi yang pernah melanda. Ternyata bukan mudah bergelar seorang selebriti.

“Pada awal tahun ini, saya terpalit dengan kontroversi besar sepanjang kerjaya seni sehingga saya merasakan tidak mahu lagi berada di bawah spotlight. Saya mahu kembali jadi orang biasa sahaja.

“Bagaimanapun saat saya berfikiran begitu, semakin banyak tawaran dan peluang datang. Saya tidak pasti adakah itu peluang atau sebenarnya ujian buat saya.

“Jadi saya akan cuba lakukan yang terbaik dengan membuang Janna Nick yang ‘dulu’ dan menghindari perkara-perkara negatif pada masa akan datang,” tegasnya.

Janna dan Dini mahu fokus kepada kerjaya terlebih dahulu sebelum membuat perancangan untuk berkahwin.

Beri kesedaran

Dalam masa sama, pelakon yang kini turut berjinak-jinak dalam bidang pengarahan dan penerbitan itu juga mahu menggunakan pengaruh sebagai selebriti untuk memberi lebih banyak inspirasi kepada orang ramai.

Iklan

“Saya mahu menggunakan platform yang ada untuk menginspirasikan lebih ramai orang agar sama-sama menyebarkan perkara positif dalam kehidupan.

“Sebelum ini saya tidak menjadi diri sendiri dan berpura-pura gembira seolah-olah tiada masalah sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya sehingga saya disahkan menghidap penyakit gangguan bipolar.

“Jadi saya mahu memberi lebih kesedaran tentang penyakit ini dan menggalakkan mereka yang mengalami masalah sama untuk tampil serta merawat diri mereka dengan berjumpa pakar,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Janna mengakui belum mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman solo biarpun hubungan cintanya dengan pelakon Dini Azan Schatzmann semakin kukuh.

“Berbanding saya, kerjaya Dini dalam bidang seni baharu sahaja bermula. Ada misi dan impian yang perlu disempurnakan terlebih dahulu.

“Selain itu, apabila melibatkan soal perkahwinan dan membina keluarga, saya memerlukan perancangan yang sangat teliti untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik,” katanya.