MESKIPUN Allahyarham Sandra Dianne telah tiada, syarikat rakamannya, Sony Music mengambil keputusan untuk tetap merilis single terbaharu nyanyiannya, Jelaskan, yang dilancarkan jam 12 tengah malam, Jumaat.

Single kedua Sandra bersama Sony Music itu merupakan hasil ciptaan  Allahyarham sendiri bersama Apex CZ dan merupakan antara karya terakhir Allahyarham sebelum terlibat dengan kemalangan dan meninggal dunia pada 11 September lalu.

Wakil Sony Music menerusi satu kenyataan media berkata, lagu tersebut tetap dirilis kepada umum kerana ingin berkongsi hasil karya penuh makna buat arwah ini kepada semua peminatnya di luar sana.

Single Jelaskan merupakan sebuah karya sarat dengan emosi yang bercerita tentang pergolakan dalam hubungan cinta.

Lagu itu dihasilkan sejak tahun lalu, namun proses rakamannya hanya dilakukan pada  bulan Mei lalu selepas tertangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sandra yang meminati penyanyi Billie Eilish itu menyerap inspirasi daripada penyanyi tersebut untuk mendapatkan emosi yang bersadur elemen depresi.

Sementara itu, ibu Allahyarham iaitu Nur Syakinah Abdullah menerusi satu kenyataannya di laman Facebook miliknya, memaklumkan telah memberi keizinan kepada pihak Sony Music untuk merilis single terbabit.

“Sesungguhnya mama masih di rundung hiba, tetapi demimu anakku, mama izinkan pihak Sony Muzik lancarkan single keduamu mulai 12 tengah malam ini.

“Semoga karya ciptaanmu mendapat tempat di hati para pendengar. Insyaallah, Aminn.

“Ini adalah karya penuh hasil kerja keras dan cinta arwah semua tercurah pada masterpiece arwah kali ini.

Iklan

“Mama dengan rendah hati memohon agar pendengar sokong karya arwah dengan memuat turun lagu arwah daripada platform yang sah agar usaha arwah tidak sia-sia,” ujarnya.

Single Jelaskan kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Terdahulu, Allahyarham Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, mengalami kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada 5 September ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk raptai penuh konsert Big Stage minggu keempat.

Iklan

Allahyarham yang dirawat di Hospital Putrajaya itu tidak sedarkan diri sejak hari pertama kejadian sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 11 September.

 

(FOTO: Sony Music Malaysia)